10.2.09

Membaca Klasifikasi Barbour

Seorang pelajar saya telah memberi komen bahawa blog ini sudah lama tidak diisi. Sebenarnya saya teragak-agak untuk menulis di sini disebabkan blog ini saya kehendaki supaya lebih bersifat falsafah dan keagamaan tetapi saya bukan orang yang terlatih dalam kedua-dua bidang ini. Oleh yang demikian, anggaplah apa yang saya tulis sebagai pendapat orang awam.

Sewaktu cuti Tahun Baru Cina ini, saya cuba habiskan membaca buku Ian G. Barbour, "When Science Meets Religion". Buku ini telah lama saya beli (bersama dengan beberapa buku-buku lain) ketika saya diminta mengulas sebuah buku tempatan yang menyentuh pandangan sains moden. Akhirnya saya tidak jadi mengulas buku tersebut kerana agak sukar untuk saya lakukan dan juga kerana beberapa pandangan peribadi saya.

Barbour sebenarnya seorang ahli fizik yang pernah bekerja dengan Enrico Fermi di University of Chicago. Beliau akhirnya telah memilih untuk menceburi teologi di Yale dan sejak itu melibatkan dirinya dalam membincang isu-isu perbandingan sains dan agama. Atas inisiatif ini, beliau telah dianugerahkan Hadiah Templeton pada tahun 1999.

Dalam buku ini, Barbour mengulas kembali klasifikasi hubungan sains-agama yang beliau pernah kemukakan dalam siri kuliah Gifford, Religion in an Age of Science. Ini diikuti dengan perbincangan kosmologi dan permulaan alam semesta (bab 2), fizik kuantum dan realiti (bab 3), evolusi dan ciptaan makhluk (bab 4), genetik, neurosains dan sifat manusia (bab 5) serta ketuhanan dan alam semulajadi (bab 6) mengikut klasifikasi tersebut.

Klasifikasi hubungan sain-agama Barbour ini dikatakan cukup umum dan hanya terbahagi kepada empat:

  1. Konflik: Agama dan sains dikatakan tidak serasi antara satu sama lain. Dalam konteks agama Kristian, pembacaan Bible secara literal yang sering konflik dengan penemuan sains moden. Pihak sains pula mungkin mengutarakan fahaman kebendaan, menolak sama sekali aspek kerohanian. Agama mungkin diletak sama paras dengan kepercayaan tahyul.
  2. Saling Tiada Persandaran: Agama dan sains dikatakan mempunyai tujuan yang berlainan. Domain perbincangan dan skop fungsian adalah berbeza. Agama dikatakan bersifat kerohanian dan subjektif manakala sains bersifat keduniaan dan objektif.
  3. Keperluan Dialog: Sains dan agama mempunyai pertindihan skop dan kesamaan dalam tujuan dan konsep, membolehkan dialog diadakan. Tambahan pula dikatakan ada kala sains akan menemui persoalan batasannya (limit questions). Kefahaman agama pula dapat diperkukuhkan dengan penemuan dan penjelasan sains.
  4. Penggabungan: Sains dan agama diberi olahan atau penafsiran semula dan disintesis menurut suatu kerangka berasaskan pengetahuan yang ada.
Bagaimana hubungan sains dengan agama Islam? Dapatkah kita buat klasifikasi seperti mana Barbour telah lakukan? Lebih menarik lagi adalah persoalan sama ada Islam pada asasnya memerlukan pengelasan yang berbeza. Kita tinggalkan dahulu kemungkinan ini dan terima pakai kategori di atas.

Untuk konflik, agak sukar bagi kita menerimanya memandangkan proses memahami al-Qur’an tidak terhad kepada pembacaan literal. Apa yang boleh berlaku adalah konflik yang timbul apabila sains yang ditemui di barat tidak diterima terus oleh kita. Penolakan secara total ini juga jarang berlaku; kita juga turut tahu bahawa ilmu itu boleh sampai kepada sesiapa pun (mungkin pengolahannya akan berbeza).

Bagi kategori saling tiada persandaran juga, sukar sekali dapat kita muatkan sains dan agama sebegitu rupa. Apatah lagi bila kita menerima kesyumulan Islam. Namun demikian, kita perlu kaji kategori ini akibat sekularisasi sains.

Saya lebih cenderung kepada kategori ketiga iaitu dialog. Seperti mana yang saya sebut di atas, jarang sekali kita tolak secara total sains barat dan kita turut faham bagaimana sains telah dijauhkan dari agama.

Kemungkinan kategori keempat agak menarik tetapi pada pandangan saya, kategori ini mengandaikan terlalu banyak kesempurnaan kefahaman manusia tentang agama dan kepercayaan kita terhadap sains. Penemuan ilmu sains yang penuh ragu-ragu tidak mungkin digabung secara total dengan kepercayaan dalam ilmu agama.

Wallahu’alam.