24.9.12

Membina Tradisi

Selama ini, saya telah cuba memberi penekanan untuk memulakan tradisi untuk fizik teori. Pengalaman saya sendiri, tidak mudah untuk membangunkan penyelidikan fizik teori walaupun berada dalam era teknologi maklumat yang membolehkan akses kekayaan maklumat di internet. Sepertimana yang kita tahu, kekayaan maklumat ini tidak berubah dengan automatik menjadi kekayaan pengetahun; ia perlukan pemprosesan, pengalaman dan hikmah. Untuk proses-proses tersebut, tradisi dan komuniti ilmuwan diperlukan. Malangnya, pendapat peribadi diri ini, tradisi dan komuniti yang mantap ilmu fizik teori (dan juga matematik tulen) belum lagi terdiri lagi di negara ini. Kebanyakan penyelidikan fizik teori terdahulu mungkin lebih bersifat individu; komuniti yang dibangunkan, jika ada, masih kecil dan ketahanannya masih rapuh. Diri ini yang terasa semakin sampai ke penghujung, masih rasa banyak lagi perlu dilakukan. Mungkin sahaja jalan yang ditempuhi sekarang ini bukan yang terbaik dan tidak terancang kemas tetapi ini lebih baik daripada tiada, sekurang-kurangnya membuka peluang kepada generasi yang baharu.

Ada baiknya jika kita pelajari daripada komuniti ilmuwan teori Muslim di rantau lain. Baru-baru kami di Institut Penyelidikan Matematik, UPM menerima kunjungan seorang ahli teori graf dan teori kumpulan terhingga yang disegani di peringkat antarabangsa. Beliau adalah Prof. Ali Iranmanesh, Dekan Fakulti Sains Matematik, Universiti Tarbiat Modares, di Teheran, Iran.Beliau juga Ketua Editor Iranian Journal of Mathematical Sciences and Informatics.

Prof. Ali Iranmanesh, saya dan Prof. Madya Dr. Zanariah


Ketika pembentangan beliau di Institut, apa yang saya dapati menarik (selain kandungan teknikal pembentangannya) ialah rujukannya adalah kebanyakannya daripada penyelidik berbangsa Iran (dan penulisan mereka bukan sahaja tertumpu kepada jurnal di Iran tetapi turut termuat dalam jurnal matematik antarabangsa terindeks oleh Thomson-Reuters). Dengan sifat ingin tahu tentang tradisi yang dibina oleh kumpulannya, saya bertanya sejak bila bidang teri graf dan teorikumpulan terhingga bertapak di Iran. Beliau menyatakan dalam sekitar 80-an dan kini sudah pun sampai ke generasi ke-empat. Mungkin sahaja bermula dengan penyelia beliau Mohammad Reza Darafsheh yang kembali ke Iran pada lewat 70-an (sila lihat salasilah beliau). Prof. Iranmanesh sendiri sudah ramai pelajarnya pula (salasilah beliau yang tak lengkap) dan pelajarnya pula sudah ada yang menyelia dan mengraduatkan pelajar. Lagi seorang profesor seangkatan dengan Mohd Reza Darafsheh adalah M. Mahdavi Hezavehi. Yang menarik di sini adalah kaitannya dengan UPM; pelajar beliau Saeed Akbari mempunyai seorang pelajar seliaan bersama dengan Peng Yee Hock (ahli teori graf UPM) iaitu Saeid Alikhani. Malang Prof. Peng sendiri tidak ada meninggalkan anak didiknya di UPM.

Begitulah tradisi teori graf dan teori kumpulan terhingga yang telah dibangunkan di Iran; empat generasi dalam masa lebih kurang tiga puluh tahun. Harapan besar diri ini, adalah perkara yang sama juga dapat dilakukan bagi fizik teori. Cuma diri ini terlampau banyak bidang yang telah diceburi yang mungkin sahaja melemahkan pembangunan tradisi yang ada. Secara umum saya kategorikan pengkhususan saya dalam asas teori kuantum dan kaedah geometri. Tetapi oleh kerana keadaan dan minat yang bercambah, saya juga melibatkan diri dalam teori kosmologi dan teori rangkaian kompleks. Juga, sejak akhir-akhir saya mula meminati teori kategori, logik dan teori graf. Minat teori graf muncul dari kajian dalam bidang geometri hiperbolik kemudian turut dirangsang oleh aplikasi rangkaian kompleks (yang mungkin sahaja ada implikasi dalam logik). Semoga dikurniakan dengan ilmu yang bermanfaat dan diturunkan tradisinya ke lapisan ilmuwan yang lebih muda dan lebih pintar.