7.2.10

Membaca dan Membangun Sains Islami

Bismillahirrahmanirrahim.

Sains Islam atau istilah yang saya lebih cenderung waktu kini (mengikut Ustaz Mohd Zaidi Abdullah), Sains Islami merupakan suatu perkara yang kerap kali kita dengar dan bagi penulis sendiri ingin cuba selami. Jika ditanya apakah sains Islami itu, kita mungkin menemui pelbagai jawapan tapi jawapan mudahnya adalah sains dalam kerangka pandangan alam (jiwa?) Islam (Islamic worldview). Jawapan ini sebenarnya menimbulkan persoalan-persoalan lain seperti apakah kerangka yang dimaksudkan, apakah perbezaannya dengan sains lazim dan seterusnya. Terus terang, saya menulis sebagai orang awam yang masih mencari jawapan. Kadangkala rasanya tersangat sukar sekali bagi diri yang kerdil ini untuk cuba menceburi bidang ini. Bolehkah seorang yang dididik di Barat, tidak mempunyai pendidikan formal Islam dan banyak pula terpengaruh oleh budaya Barat melibatkan diri dalam sains Islami? Bolehkan orang awam yang hidup dalam zaman penuh fitnah, berbudaya hiburan dan begitu jauh dari menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dapat membangunkan sains Islami? Sudah tentu sukar sekali, namun usaha perlu diteruskan.

Untuk itu, saya kini membaca sebuah buku kecil berjudul "Islamic Science - Towards A Definition" oleh Alparslan Acikgenc, terbitan ISTAC. Titik tolak definisi ciri Islami Prof. Alparslan dapat dikatakan bermula dengan takrifan Islamisasi Prof. Al-Attas iaitu liberalisasi daripada magis, dongeng, animisme, budaya setempat yang bercanggah dengan Islam serta pengawalan sekular dalam pemikiran dan bahasa. Sebagai pemerincian, Alparslan mengupas aspek dan fungsi pandangan alam dengan strata strukturnya. Antara penekanan yang menarik adalah perlunya sofistikasi (sophistication) struktur pengetahuan secukupnya untuk membangunkan aktiviti sains (Islami). Justeru itu, akan wujud pandangan alam yang tidak mungkin boleh membangunkan sains. Alparslan secara pintas lalu memberi rujukan kepada Arab pra-Islam dan zaman gelap Eropah tetapi tidak menghuraikan lebih lanjut. Menarik sekali sekiranya dapat didalami atau diilustrasikan bagaimana ciri-ciri pandangan alam (seperti elemen tahyul dan peringkatnya) yang memustahil atau membantut sebarang pembangunan sains.

Bagi saya, aspek keperluan sofistikasi struktur pengetahuan yang secukupnya untuk pembangunan sains perlu kita titikberatkan. Perkara ini mirip dengan teori von Neumann bagi automata swa-membiak yang turut menyatakan keperluan struktur yang cukup canggih bagi swa-pembiakan. Alparslan dalam dua bab berikutnya menunjukkan bagaimana tamadun Islam awal telah membangunkan struktur pengetahuan yang cukup canggih sehingga menghasilkan ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu fiqah dan ilmu sains awal yang begitu organik dengan Islam. Persoalannya sekarang apakah tahap pembicaraan dan struktur pengetahuan falsafah sains (Islami) yang ada kini sudah mencapai tahap kompleksiti yang dikehendaki untuk membangunkan sains Islami seterusnya? Pada amatan Alparslan di hujung bukunya, jawapannya adalah tidak kerana kita masih banyak meminjam dari Barat.

Apakah mungkin kita tidak meminjam dari Barat? Secara prinsipnya boleh tetapi saya rasa ini hanya memberatkan para ilmuwan sains Islami. Seperti Alparslan terangkan di beberapa tempat, wujud elemen-elemen universal dalam sains kini yang merentas bentuk pandangan alam Barat atau Islami. Elemen-elemen sedemikian boleh dibangunkan semula dalam pandangan Islami tetapi ia perlu kepada kepakaran disiplin sains masing-masing. Usaha ini sudah tentu memakan masa tetapi jika persoalan sains yang fundamental diutamakan dahulu, mungkin impaknya lebih besar dan tempoh Islamisasi akan lebih singkat. Ini adalah kerana persoalan fundamental akan menjuruskan penyelidik kepada tahap kompleksiti pengetahuan yang disebutkan sebelum ini. Wallahu A'lam.