1.9.11

Sekadar Pandangan

Sejak akhir-akhir ini, saya telah menelaah beberapa tulisan mengenai sains Islami. Dalam segala kedaifan ilmu yang ada pada diri ini, masih juga terpanggil untuk menyuarakan sedikit pandangan yang kiranya berharapan untuk memberi sedikit penambahbaikan.

Sebarang usaha dalam membangunkan sains Islami seharusnya diberi galakan namun usaha sedemikian tidak terlepas daripada norma kebanyakan ilmiah yang lain. Pengabaian norma-norma ini boleh menyebabkan pandangan yang kurang serius atau (lebih teruk lagi) pandangan serong oleh pihak lain. Mahu tidak mahu, kita harus mengambilkira persepsi ke atas usaha sains Islami (yang saya kira masih peringkat pembangunan  pada zaman ini) atau setidak-tidaknya dilakukan dengan bijaksana. Antaranya:
  • Memastikan keikhlasan terhadap kebenaran (walaupun pahit) dan meniadakan unsur peribadi (kecuali dalam perkara yang prinsip) dalam membahaskan sesuatu perkara. Saya kira ini paling asas tapi mungkin yang paling sukar untuk dilaksanakan.
  • Memahami pihak "lawan" atau pihak lain dahulu dan mengikuti tradisi yang dibawanya. Ini juga berkaitan yang di atas dan tidak mudah dilaksana. Contohnya, lazimnya apabila saya membaca kertas kerja atau mendengar pembentangan seminar, saya pastikan saya dapat intipati apa yang nak disampaikan dahulu sebelum saya teliti kesesuaiannya atau kebenarannya.
  • Dalam penyampaian satu-satu perkara, pastikan kesahihan atau kebenaran perkara tersebut. Jika tidak, ini akan menimbulkan kesangsian terhadap apa-apa yang ingin disampaikan atau paling tidaknya menimbulkan persepsi bahawa penyampai kurang berhati-hati dalam penyelidikannya.
  • Mendapatkan satu tahap minimum kepakaran dalam perkara yang ingin disampaikan kerana jika tidak, mudah sekali membawa pandangan yang kurang tepat. Lebih baik lagi, jika pernah melalui tradisi ilmu yang ingin dikupas. Ini berkait dengan dua perkara di atas. Contoh dalam sejarah sains Islam adalah bagaimana Imam al-Asy'ari mendalami fahaman Mu'tazilah dan kemudian menolaknya.
  • Seboleh-boleh dalami satu-satu isu sahaja sehingga ke peringkat teknikal. Ini lebih meyakinkan daripada menyentuh banyak isu yang sudah tentu hanya dapat dibuat secara sekilas pandang sahaja.
  • Kritikan hendaklah membina dan kritikan peribadi harus dielakkan. Lebih baik lagi, di samping kritikan membina tersebut disoroti dengan pandangan atau teori alternatif. Saya ingin juga menambah tentang kritikan terhadap usaha sains Islami oleh pihak lain; jika tiada isu besar, elakkanlah kerana usaha sains Islami perlu digalakkan pada waktu kini dan bukan dihilangkan semangatnya. Ambillah iktibar bagaimana perbezaan pendapat diterima oleh imam-imam mazhab fiqh.
Saya kira apa yang saya sebut di atas, kebanyakannya adalah pengetahuan umum dan dapat diterima oleh semua. Sebahagian pandangan di atas selari dengan apa yang ditulis oleh Dr. Adi Setia dalam makalahnya "Three meanings of Islamic science: toward operationalizing Islamization of science", satu makalah yang saya pandang menarik dan serasi dengan apa saya fikirkan. Sebagai tambahan juga, saya ingin sarankan supaya mengurangkan intonasi yang seakan-akan memandang rendah terhadap pihak "lawan" (apa lagi pihak pembaca/pendengar) dalam membangunkan hujjah kerana perkara ini akan hanya membawa kesan negatif, melainkan wujud provokasi sebelumnya. Lazimnya, penghormatan adalah dua hala dan bukan boleh dipinta.

Wallahualam bissawab