1.9.11

Sekadar Pandangan

Sejak akhir-akhir ini, saya telah menelaah beberapa tulisan mengenai sains Islami. Dalam segala kedaifan ilmu yang ada pada diri ini, masih juga terpanggil untuk menyuarakan sedikit pandangan yang kiranya berharapan untuk memberi sedikit penambahbaikan.

Sebarang usaha dalam membangunkan sains Islami seharusnya diberi galakan namun usaha sedemikian tidak terlepas daripada norma kebanyakan ilmiah yang lain. Pengabaian norma-norma ini boleh menyebabkan pandangan yang kurang serius atau (lebih teruk lagi) pandangan serong oleh pihak lain. Mahu tidak mahu, kita harus mengambilkira persepsi ke atas usaha sains Islami (yang saya kira masih peringkat pembangunan  pada zaman ini) atau setidak-tidaknya dilakukan dengan bijaksana. Antaranya:
  • Memastikan keikhlasan terhadap kebenaran (walaupun pahit) dan meniadakan unsur peribadi (kecuali dalam perkara yang prinsip) dalam membahaskan sesuatu perkara. Saya kira ini paling asas tapi mungkin yang paling sukar untuk dilaksanakan.
  • Memahami pihak "lawan" atau pihak lain dahulu dan mengikuti tradisi yang dibawanya. Ini juga berkaitan yang di atas dan tidak mudah dilaksana. Contohnya, lazimnya apabila saya membaca kertas kerja atau mendengar pembentangan seminar, saya pastikan saya dapat intipati apa yang nak disampaikan dahulu sebelum saya teliti kesesuaiannya atau kebenarannya.
  • Dalam penyampaian satu-satu perkara, pastikan kesahihan atau kebenaran perkara tersebut. Jika tidak, ini akan menimbulkan kesangsian terhadap apa-apa yang ingin disampaikan atau paling tidaknya menimbulkan persepsi bahawa penyampai kurang berhati-hati dalam penyelidikannya.
  • Mendapatkan satu tahap minimum kepakaran dalam perkara yang ingin disampaikan kerana jika tidak, mudah sekali membawa pandangan yang kurang tepat. Lebih baik lagi, jika pernah melalui tradisi ilmu yang ingin dikupas. Ini berkait dengan dua perkara di atas. Contoh dalam sejarah sains Islam adalah bagaimana Imam al-Asy'ari mendalami fahaman Mu'tazilah dan kemudian menolaknya.
  • Seboleh-boleh dalami satu-satu isu sahaja sehingga ke peringkat teknikal. Ini lebih meyakinkan daripada menyentuh banyak isu yang sudah tentu hanya dapat dibuat secara sekilas pandang sahaja.
  • Kritikan hendaklah membina dan kritikan peribadi harus dielakkan. Lebih baik lagi, di samping kritikan membina tersebut disoroti dengan pandangan atau teori alternatif. Saya ingin juga menambah tentang kritikan terhadap usaha sains Islami oleh pihak lain; jika tiada isu besar, elakkanlah kerana usaha sains Islami perlu digalakkan pada waktu kini dan bukan dihilangkan semangatnya. Ambillah iktibar bagaimana perbezaan pendapat diterima oleh imam-imam mazhab fiqh.
Saya kira apa yang saya sebut di atas, kebanyakannya adalah pengetahuan umum dan dapat diterima oleh semua. Sebahagian pandangan di atas selari dengan apa yang ditulis oleh Dr. Adi Setia dalam makalahnya "Three meanings of Islamic science: toward operationalizing Islamization of science", satu makalah yang saya pandang menarik dan serasi dengan apa saya fikirkan. Sebagai tambahan juga, saya ingin sarankan supaya mengurangkan intonasi yang seakan-akan memandang rendah terhadap pihak "lawan" (apa lagi pihak pembaca/pendengar) dalam membangunkan hujjah kerana perkara ini akan hanya membawa kesan negatif, melainkan wujud provokasi sebelumnya. Lazimnya, penghormatan adalah dua hala dan bukan boleh dipinta.

Wallahualam bissawab

23.3.11

Teori Kuantum Bukan Muktamad?

Kini saya sedang membaca buku "Quo Vadis Quantum Mechanics?" suntingan A. Elitzur, S. Dolev dan N. Kolenda. Buku ini memuatkan 21 makalah (termasuk perbincangan meja bulat) ditulis oleh pakar yang telah memikirkan masalah teori kuantum begitu lama (antaranya penerima anugerah Hadiah Nobel,  't Hooft). Prakata buku ini malah disediakan oleh ilmuwan Roger Penrose yang mempunyai pendapatnya tersendiri tentang apa sebenarnya masalah teori kuantum.

Mungkin sesetengah pelajar, malah ahli fizik sekali pun, tertanya-tanya mengapa perlu diungkit "masalah" lama mekanik kuantum ini. Bukankah mekanik kuantum sudah begitu berjaya sekali dalam meramalkan sifat pelbagai jirim dan sinaran sehingga dapat direkayasakan ke teknologi elektronik dan teknologi fotonik sedia ada, dan seterusnya menjanjikan teknologi maklumat kuantum yang baru. Mengapa perlu ada teori yang lain? Seringkali kita dengar sesetengah ahli fizik yang mengatakan kita perlu terima teori kuantum seadanya; terima apa yang disarankan oleh mekanik kuantum untuk kita. Tidak kurang juga yang mengujar "Diamlah dan buat saja kiraan!", kadangkala dengan nada angkuh. Ada juga yang berpendapat bahawa teori mekanik kuantum sudah diganti dengan teori medan kuantum yang lebih terkehadapan.

Kenapa diungkit - saya kira pendapat yang paling ikhlas adalah untuk mencari sesuatu yang baru selain daripada teori kuantum yang sedia ada. Keadaannya hampir sama sahaja dengan menjawab persoalan apa perlunya teori graviti diberi bentuk kuantum - bukankah teori graviti sudah secukupya diperihal dengan teori kerelatifan umum sehingga dapat memberi kejituan tinggi dalam sistem GPS (sila lihat makalah di sini atau sini; walaupun ada kritikan, kebanyakannya tidak tersiar dalam jurnal indeks rujukan). Dalam kes ini, jawapan lazim adalah kejanggalan untuk menerima dua set hukum fizik yang berlainan untuk graviti dan jirim; dipandang ideal jika semua objek dalam alam menuruti satu set hukum fizik yang unik. Begitu juga dengan teori kuantum; dirasakan janggal jika hukum fizik memerlukan dua bahasa berlainan dalam memerihalkan fenomena fizik - tentuisme untuk alat pengukur dan tak-tentuisme untuk yang diukur; atau dalam bentuk lain, hukum dinamik unitari untuk proses kuantum dan hukum tak berbalik untuk proses pengukuran.

Bagi hujah teori medan kuantum sebagai teori pengganti, perlu ditekankan tiada perubahan konsep yang ketara berlaku apabila beralih dari mekanik kuantum ke medan kuantum kecuali bilangan darjah kebebasan menjadi tak terhingga. Jika ada pun sedikit anjakan daripada konsep medan, seolah-olah menekan aspek "gelombang", namun ontologi medan ini pun bermasalah (sila lihat masukan ini dalam Ensaiklopedia Falsafah Stanford). Secara praktis, entiti zarahlah yang dikaitkan dengan medan dan ini juga mempunyai masalahnya tersendiri (lihat masukan yang sama). Apa-apa masalah yang muncul bagi zarah dalam mekanik kuantum, turut diwarisi oleh zarah dalam teori medan kuantum, malah berlipat ganda lagi. Ini belum lagi mengambilkira masalah ketak-terhinggaan dalam medan kuantum.

Mahu, tidak mahu, kita terpaksa akur dengan masalah asas formalisme yang dibawa oleh teori kuantum. Di sini kita perturunkan beberapa ciri teori kuantum yang dikira membawa masalah terbincang oleh Elitzur dalam makalah pertama buku ini:
  • Kedualan zarah-gelombang yang memerlukan tafsiran, lazimnya dalam bentuk tafsiran kebarangkalian Born (menjadi pegangan ramai). Dalam bentuk lain teori kuantum (lebih umum?), Heisenberg mengekalkan ciri-ciri zarah seperti kedudukan, momentum, spin, tenaga dan lain-lain tetapi terbatas melalui hubungan ketakpastian (lebih tepat lagi, mengikut Bohm, hubungan ketentuan terhad).
  • Pembahagian kuantum-klasik (pemisah Heisenberg) antara sistem diukur dan sistem pengukur adalah subjektif bergantung kepada konteks analisis dan eksperimen yang dipilih.
  • Sifat tak setempat secara semulajadi menjadi muncul daripada sifat tersebarnya gelombang kerana wujudnya korelasi antara dua titik ruang yang berlainan pada satu-satu masa.
    Catatan: samada kita katakan sifat setempat atau tidak bergantung kepada kuantiti apakah yang kita ambil sebagai yang utama.
Bolehkah dibentuk teori yang lebih terperinci daripada mekanik kuantum? Teori pembolehubah terselindung atau yang lebih revolusioner lagi? Secara peribadi, saya mengatakan ya, seharusnya kita mencari teori ini walaupun hukum fizik sedia ada memustahilkan pengesahannya (yang saya katakan sebagai pandangan dalaman). Tetapi secara prinsipnya, kerangka teori baru boleh diberi pengertian yang bermakna (juga boleh disahkan kemudiannya) sepertimana pandangan global ruang-masa teori kerelatifan yang saling berkait, walaupun yang diukur dan kita sendiri terbatas oleh waktu (dan ruang). Di sini, Elitzur meletakkan beberapa ciri yang diingin bagi teori yang dicari:
  • Kecantikan - Ini adalah agak subjektif tetapi ahli fizik lazimnya mencari satu prinsip yang begitu mudah dan jelas yang berupaya memerihal semua fenomena.
  • Bersatu - Teori merangkumi semua aspek, tidak menjelaskan fenomena secara berpisah-pisah.
  • Berterusan - Teori tidak merubah apa yang kita tahu pada domainnya masing-masing tetapi merangkumi teori-teori terdahulu, kuantum atau klasik.
  • Pengorbanan konsep - Dalam usaha pengitlakan, sudah tentu ada konsep yang akan tidak diterimapakai lagi. Jika tiada konsep yang berubah, maka teori sedemikian hanyalah satu sambungan teori terdahulu.
  • Ramalan baru - Teori baru seharusnya mendatangkan ramalan yang baru tidak terkandung dalam teori terdahulu. Jika tidak, teori sedemikian hanyalah suatu alternatif sahaja.
  • Pulangan yang tak disangka - Teori baru seharusnya memberi lebih daripada apa tujuan (penyelesaian) asalnya, yang lazimnya tidak disangka.
Moga-moga kita dapat mencari teori pasca-kuantum yang sedemikian.

8.8.10

Analogi Proses Ilmiah

Pada asalnya, saya ingin hidupkan blog ini semula dengan sedikit ulasan berperingkat tentang buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam - Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas, suntingan Wan Mohd Nor Wan Daud dan Muhammad Zainy Uthman, yang saya pinjam dari perpustakaan. Tapi saya tangguh hasrat ini kerana ada isu yang memenuhi minda saya beberapa hari kebelakangan ini.


Perhatian saya tertarik kepada satu pos di FB yang menimbulkan isu yang dahulunya pernah menggemparkan (sekurang-kurangnya) masyarakat ilmiah di Malaysia iatu isu penilaian semula hadits yang diutarakan oleh Kassim Ahmad. Lantas saya membaca komen-komen di sana untuk melihat apakah yang baru mengenai perkara ini. Hati saya terusik untuk menyatakan sesuatu apabila saya lihat komen empunya pos yang menggambarkan seolah-olah tiada respon yang dibuat terhadap idea Kassim Ahmad. Salah tanggapan boleh timbul apabila gambaran berat sebelah diberi; seolah-olah tiada ulama' bermaya menandingi atau menyambut cabaran kritikan hadits. Saya sebutkan buku selenggaraan Abdul Halim El-Muhammady, "Islam dan al-Hadith: Satu Analisis ke atas Usaha-usaha Merosakkan Peribadi dan Autoriti Rasulullah s.a.w." sebagai contoh untuk memberi sedikit imbangan. Apabila dibaca keseluruhan komen, saya beranggapan empunya laman hanya ingin mengacah kerana ingin melihat usaha pembaharuan dalam membangunkan tamaddun Islam.

Walau apapun, saya lebih menyukai usaha sedemikian dibuat dengan lebih hati-hati terutamanya dalam hal keagamaan; keseriusan kaedah ilmiah perlu diutamakan lebih daripada mengsensasikan isu. Komen kedua saya di pos tersebut adalah ke arah ini. Namun ada komen lain (tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa) yang kurang menyenangkan. Mungkin sahaja komen saya dianggap momokan (beliau kata hantu-hantu). Bagi saya, tiada siapa yang menghalang sesiapa untuk mengkaji al-hadits tetapi ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Kalau sekadar untuk beri pendapat seperti di kedai kopi, maka jangan melenting jika dikritik kurang ilmiah. Dalam komen yang sama juga, ada unsur seolah-olah meremehkan kepentingan bahasa Arab. Alhamdulillah, ada yang memberi respon balas.

Tujuan pos ini bukanlah untuk membicara ilmu hadits atau mana-mana aspek Islam yang khusus. Malah diri ini bukan ahlinya. Apa yang saya ingin buat di sini hanya sedikit analogi sahaja (dan jangan pula salah anggap saya ingin menyamakan mana-mana aspek Islam dengan apa yang saya akan sebut di sini). Apabila ada komen yang mengatakan mengapa melenting - apa tidaknya kerana mengkritik hadits (dan saya tidak sebut anti-hadits ya) adalah mengkritik sumber ilmu kedua dalam Islam. Analogi yang saya nak buat di sini untuk fizik ialah seolah-olah mengkritik contohnya teori kerelatifan Einstein. Sudah tentu para ilmuwan yang telah bertahun-tahun menggunakan teori akan secara semulajadi melenting bertanya di mana salahnya. Apakah kaedah yang dipakai untuk sampai ke kritikan tersebut. Apakah alternatifnya? Cukup kuatkah asas dan kaedah yang dipakai untuk alternatif ini. Jika tidak, sudah tentu, teori alternatif (itu pun jika ada) akan tentu dikritik hebat. Para ilmuwan lazimnya tidak menolak sebarang teori alternatif tetapi akan meminta kriteria yang sehebat (jika tidak lebih hebat) dalam teori alternatif tersebut. Dan jika ada usaha ingin membangunkan teori alternatif yang baru, sudah tentu ilmuwan yang terlibat akan meninjau perkembangan teori yang sedia ada (jika tidak menjadi pakar dalamnya).

Kadang-kadang disebabkan kita sebut kita menganut agama Islam, kita fikir sudah cukup menjadi ahli ilmu Islam. Bagi saya kepakaran ini tidak automatik. Ya, memang mudah untuk sesiapa mendapat kebenaran, jika diberi hidayah. Tapi confident kah kita untuk diuji seterusnya?

Mohon maaf jika ada yang tersinggung dengan pos ini yang sebenarnya lebih bersifat introspektif.

7.2.10

Membaca dan Membangun Sains Islami

Bismillahirrahmanirrahim.

Sains Islam atau istilah yang saya lebih cenderung waktu kini (mengikut Ustaz Mohd Zaidi Abdullah), Sains Islami merupakan suatu perkara yang kerap kali kita dengar dan bagi penulis sendiri ingin cuba selami. Jika ditanya apakah sains Islami itu, kita mungkin menemui pelbagai jawapan tapi jawapan mudahnya adalah sains dalam kerangka pandangan alam (jiwa?) Islam (Islamic worldview). Jawapan ini sebenarnya menimbulkan persoalan-persoalan lain seperti apakah kerangka yang dimaksudkan, apakah perbezaannya dengan sains lazim dan seterusnya. Terus terang, saya menulis sebagai orang awam yang masih mencari jawapan. Kadangkala rasanya tersangat sukar sekali bagi diri yang kerdil ini untuk cuba menceburi bidang ini. Bolehkah seorang yang dididik di Barat, tidak mempunyai pendidikan formal Islam dan banyak pula terpengaruh oleh budaya Barat melibatkan diri dalam sains Islami? Bolehkan orang awam yang hidup dalam zaman penuh fitnah, berbudaya hiburan dan begitu jauh dari menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dapat membangunkan sains Islami? Sudah tentu sukar sekali, namun usaha perlu diteruskan.

Untuk itu, saya kini membaca sebuah buku kecil berjudul "Islamic Science - Towards A Definition" oleh Alparslan Acikgenc, terbitan ISTAC. Titik tolak definisi ciri Islami Prof. Alparslan dapat dikatakan bermula dengan takrifan Islamisasi Prof. Al-Attas iaitu liberalisasi daripada magis, dongeng, animisme, budaya setempat yang bercanggah dengan Islam serta pengawalan sekular dalam pemikiran dan bahasa. Sebagai pemerincian, Alparslan mengupas aspek dan fungsi pandangan alam dengan strata strukturnya. Antara penekanan yang menarik adalah perlunya sofistikasi (sophistication) struktur pengetahuan secukupnya untuk membangunkan aktiviti sains (Islami). Justeru itu, akan wujud pandangan alam yang tidak mungkin boleh membangunkan sains. Alparslan secara pintas lalu memberi rujukan kepada Arab pra-Islam dan zaman gelap Eropah tetapi tidak menghuraikan lebih lanjut. Menarik sekali sekiranya dapat didalami atau diilustrasikan bagaimana ciri-ciri pandangan alam (seperti elemen tahyul dan peringkatnya) yang memustahil atau membantut sebarang pembangunan sains.

Bagi saya, aspek keperluan sofistikasi struktur pengetahuan yang secukupnya untuk pembangunan sains perlu kita titikberatkan. Perkara ini mirip dengan teori von Neumann bagi automata swa-membiak yang turut menyatakan keperluan struktur yang cukup canggih bagi swa-pembiakan. Alparslan dalam dua bab berikutnya menunjukkan bagaimana tamadun Islam awal telah membangunkan struktur pengetahuan yang cukup canggih sehingga menghasilkan ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu fiqah dan ilmu sains awal yang begitu organik dengan Islam. Persoalannya sekarang apakah tahap pembicaraan dan struktur pengetahuan falsafah sains (Islami) yang ada kini sudah mencapai tahap kompleksiti yang dikehendaki untuk membangunkan sains Islami seterusnya? Pada amatan Alparslan di hujung bukunya, jawapannya adalah tidak kerana kita masih banyak meminjam dari Barat.

Apakah mungkin kita tidak meminjam dari Barat? Secara prinsipnya boleh tetapi saya rasa ini hanya memberatkan para ilmuwan sains Islami. Seperti Alparslan terangkan di beberapa tempat, wujud elemen-elemen universal dalam sains kini yang merentas bentuk pandangan alam Barat atau Islami. Elemen-elemen sedemikian boleh dibangunkan semula dalam pandangan Islami tetapi ia perlu kepada kepakaran disiplin sains masing-masing. Usaha ini sudah tentu memakan masa tetapi jika persoalan sains yang fundamental diutamakan dahulu, mungkin impaknya lebih besar dan tempoh Islamisasi akan lebih singkat. Ini adalah kerana persoalan fundamental akan menjuruskan penyelidik kepada tahap kompleksiti pengetahuan yang disebutkan sebelum ini. Wallahu A'lam.

31.12.09

Ada Apa Pada Nama

Sekadar mengisi masukan terakhir tahun ini. Kini isu PPSMI mungkin sudah kurang didebatkan kecuali pihak yang pro-PPSMI pulak yang mungkin akan menyuarakan ketidakpuasan mereka. Bagi saya secara peribadi, bukanlah tentang debat itu sangat tetapi apakah pengisian yang dibuat untuk satu-satu pendapat. Kini para pecinta bahasa berpeluang untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu secara berfokus dan malanglah sekiranya peluang ini hanya untuk mengekalkan status quo. Harapnya tidak ada lagi komen jenaka seperti apakah terjemahan bagi perenggan berikut:

"That server gives a plug and play service to the client using either hardware or software joystick. The joystick goes into the port of the client."

Tak perlu saya beri terjemahannya di sini yang dijadikan sebagai bahan jenaka kerana mirip kepada bahan lucah. Jika difikirkan, istilah bahasa Inggeris yang dipakai dalam perenggan di atas juga boleh membawa maksud lucah jika kita ingin berfikiran demikian. Sebenarnya istilah bahasa Inggeris itu sendiri mungkin sudah bermasalah tetapi disebabkan kelaziman, perkataan tersebut membawa maksud yang dikehendaki.

Di sini, saya tidak mahu membincang sangat istilah sains komputer kerana bukan kepakaran saya tapi saya ingin membawa perbincangan kepada istilah fizik khususnya dalam bidang terkehadapan. Banyak antara istilah yang dipakai dalam bidang fizik terkehadapan mungkin dibuat secara terburu-buru dan tidak menggambarkan pengertian fizik yang dikehendaki. Dalam kes sebegini, sebenarnya kita berpeluang besar untuk mencari istilah yang benar-benar sesuai dan membawa pengertian fizik yang sepatutnya. Sebarang istilah, jika sudah ada, masih dapat kita ubah kerana penggunaannya mungkin masih jarang (kerana bidang terkehadapan).

Beberapa istilah fizik yang saya fikirkan adalah seperti:
  • gauge invariance/symmetry - simetri ini berasaskan transformasi faktor fasa
  • wormholes - objek ruang-masa yang dapat dilalui tanpa menemui titik singulariti
  • grand unified theory - teori yang menyatukan hanya tiga jenis daya sahaja (adakah ia 'grand')
  • theory of everything - kerangka teori yang melibatkan semua daya (tapi adakah segala-galanya)
  • colour charges - cas yang dibawa oleh kuark dan gluon (bolehkah kita elak daripada menyebut kuark merah?)

Saya rasa banyak lagi istilah yang boleh kita pertimbang semula penggunaannya supaya istilah bahasa Melayu lebih tepat memerihalkan ciri atau proses fiziknya. Wallahu'alam.

23.8.09

Memahami Pengisytiharan Pemikiran dan Pengamalan Islami

Saya memiliki dua buah buku oleh Mohd Zaidi Abdullah yang salah satunya telah saya lengkapkan pembacaannya baru-baru ini (dibaca perlahan-lahan dalam tempoh yang agak lama). Buku"Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami" agak unik kerana sebenarnya ia mengumpulkan esei atau makalah yang ditulis oleh para ulama dan ilmuwan merentasi generasi berbeza. Buku ini saya pilih dibaca dahulu daripada yang satu lagi (Nafas Baru Hikmah Al-Isyraqi) kerana saya beranggapan buku ni akan menerang terlebih dahulu apakah asas pemikiran Ustaz Zaid.

Sebagai orang awam yang hanya tahu amat sedikit sekali tentang tasawwuf dan tradisi sekolah pondok melalui pembacaan rawak, terus-terang saya katakan buku ini agak sukar untuk dibaca. Khususnya makalah oleh ulama silam; contohnya makalah oleh ulama alam Melayu, tidak disebut samada yang termuat itu adalah teks yang diambil terus oleh manuskrip asal (sekadar mengagak, mungkin tidak - dari gaya bahasa), atau telah diulas semula oleh penyunting. Begitu juga makalah ulama silam yang sudah tentunya diterjemah tapi apakah dari teks asal atau selainnya dan berkmungkinan juga sudah diulas semula. Mengambil penulisan ini dari sudut akademik, maklumat ini perlu dimaklumkan dan jika dari sudut penulisan popular, eseinya agak berat dan perlu diperjelas, dipermudahkan dengan lebih sistematik.

Tulisan Ustaz Zaid sendiri memenuhi buku ini di beberapa tempat. Antara yang menarik bagi saya adalah "Kejayaan Kaedah Pengajian Ulama Silam", "Pembangunan Islami Menurut Sheikh Mukhtar 'Atarid Bogor" dan "Pemerintahan Secara Islam: Dalam Pengamatan Sheikh Ahmad al-Fatani" kerana fakta sejarah yang sekali gus menonjol aspek tradisi keilmuan Islam di dunia Melayu. Yang lebih menjurus kepada falsafah yang dibawa oleh Ustaz Zaid terdapat di makalah "Sains Semasa: Antara Realiti dan Sikap" (di hujungnya) dan "Jalinan Ilmiah Asas Estetika Islam". Di situ disebut mengenai ilm-huduri dan al-hikmah sebagai induk bagi ilmu-ilmu. Harapan saya kedua-dua konsep ini dapat dikupas dengan terperinci lagi khususnya apabila ditembungkan dengan falsfah sains moden (yakni barat). Akhir sekali, makalah awal (al-Usul Menuju Manifesto) dan makalah penutup (Khatimah Sebagai Manifesto) beliau merupakan pengikat kesemua makalah yang ada dalam buku ini.

Buku ini turut memuatkan beberapa penulis moden seperti Prof. Osman Bakar, Dr. Mohammad Alinor dan Prof. Shahidan Radiman. Sebenarnya pendorong saya untuk memiliki buku Ustaz Zaid adalah kaitan beliau dengan Prof. Shahidan. Prof. Shahidan merupakan salah seoarang rakan saya ketika di University of Cambridge dahulu. Dua makalah beliau ada termuat di buku ini: "Penerapan Tauhid Dalam Sains dan Teknologi" dan "Mekanik Kuantum dan Kesufian". Ada beberapa perkara yang saya tidak dapat bersependapat dengan apa yang beliau tulis berasaskan kefahaman fizik saya (dan bukan dari sudut tasawwuf yang pengetahuan saya hampir sifar, jika tidak sifar). Contoh jelas adalah bandingan quantum teleportation dan wormhole sudah tentu berlainan aspek apa yang dipindahkan dan tidak boleh dibanding secara terus (melainkan pengarang juga berfikir yang dipindahkan itu juga harusnya berlainan). Juga, sedikit perasaan kurang selesa berlaku apabila teori-teori fizik terkini secara mudah disesuaikan atau dibandingkan dengan pengetahuan Islam atau pengalaman ahli sufi.

Makalah Dr. Alinor (Pembangunan Linguistik Matematik dan Kaitannya dengan Ilmu Tatabahasa) juga begitu menarik kerana ada merujuk kepada teori akar Arab (root words). Secara terpendam, saya sudah lama berminat dengan usaha-usaha ilmuwan seperti Toshihiko Izutsu, Sakir Kocabas dan Moha Lhousni (rakan saya ketika di University of Durham) yang menggunakan aspek permasalahan bahasa dalam membangunkan teori atau falsafah dalam sains Islami.

Secara keseluruhan usaha murni Ustaz Zaid ini perlu dialu-alukan dalam memperkayakan penulisan sains Islami. Namun dirasakan buku ini boleh diperbaiki lagi dari segi tatasusunannya khususnya penyusun mungkin boleh menjelaskan kenapa makalah-makalah diatur sedemikian rupa bagi memudahkan pembaca untuk menangkap apa tujuan setiap makalah itu secara bersistem.

19.5.09

Shaharir di SSUT INSPEM-7

Pada minggu lepas, Institut Penyelidikan Matematik UPM telah mengadakan Seminar Sehari Sempena Ulang Tahun INSPEM ke-7. Antara penceramah undangan di seminar itu ialah Prof. Shahrir Mohamad Zain. Tajuk syarahan beliau adalah "Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza Mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik" (berbeza daripada tajuk yang dihebahkan sebelum itu). Saya telah diminta oleh pelajar saya untuk mengulas syarahan beliau. Sebenarnya saya agak keberatan memandangkan Prof. Shaharir adalah ilmuwan dan pejuang bahasa yang sangat disegani. Namun saya sahut cabaran ini dan cuba mengulas topik yang dibawa mengikut fahaman peribadi saya. Oleh kerana saya tidak mempunyai apa-apa dokumen mengenai syarahan ini, saya terpaksa bergantung kepada ingatan saya yang tak seberapa ini.

Sebenarnya saya tertunggu-tunggu juga apa yang akan diperkatakan oleh Prof. Shaharir kerana beliau telah lama memperjuangkan pengislaman sains dan juga terkemudian pengpribumian sains. Titik tolak hujjah-hujjah beliau adalah sains sarat nilai dan bukannya bebas nilai seperti mana yang disangkakan. Sememangnya perkara ini banyak diperdebatkan dalam skop falsafah sains di Barat dan bukan sahaja di sini. Dari situ, beliau cuba menunjukkan peranan bahasa yang membawa nilai-nilai ini. Beliau mengemukakan beberapa contoh di mana bahasa Melayu secara halus mempengaruhi kefahaman sains di kalangan masyarakat. Bagi saya, contoh-contoh ini penting dan menarik sekali kerana ia menjelaskan bagaimana dia memahami pengaruh bahasa ke atas sains itu. Antara perkara yang saya harap beliau kupaskan adalah mengenai ruang dan masa tetapi mungkin tidak kesempatan. Ada juga contoh yang beliau berikan seperti 2 kali 5 yang saya rasakan perlu dikelaskan sedikit berbeza iaitu apakah ia lebih kepada pengaruh matematik ke atas bahasa dan bukan sebaliknya. Di situ konsep kesamaan dikaitkan dengan hukum boleh tukar tertib (sifat simetri Abelan). Namun demikian, contoh ini menarik untuk dihalusi asal-usulnya.

Secara umumnya, Prof. Shaharir mengharapkan penggunaan bahasa Melayu dalam sains (bermatematik) ini dapat dipergiatkan lagi agar pengaruh halus yang dibawa oleh bahasa itu dapat membawa perkembangan baru atau setidaknya kefahaman yang lebih dapat disesuaikan dengan pemikiran Melayu.

Satu persoalan menarik timbul dalam sesi soal jawab ialah bagaimana usaha penonjolan pengaruh bahasa Melayu ini dimuatkan dalam konteks memahami agama Islam. Ini menarik kerana kedua-dua agama dan sains membuat tuntutan sarwajagat (universal claims) dan jawapan Prof. Shaharir merujuk kepada hukum 'urf dalam fiqh juga menarik. Hukum 'urf dari segi tatasusunan (hierarchy) sumber hukum adalah lebih rendah dan lebih merujuk kepada perkara-perkara khusus dan bukan yang umum. Ini membawa persoalan menarik dari segi tatasusunan dalam pengislaman (atau pengpribumian) sains. Apakah perlu dileraikan antara yang umum dan yang khusus? Saya rasa banyak perkembangan dapat dilakukan dalam konteks ini, malah ada baiknya kajian sains Islam merujuk kepada kemajuan yang dibuat dalam usul fiqh. Wallahu'alam.