7.8.13

Mengenali Bohm dan Konteks Ideanya

David Bohm adalah antara nama ahli fizik yang sering disebut oleh para ilmuwan sains Islami. Saya tertarik untuk mengetahui apakah idea beliau sememangnya mempunyai unsur-unsur yang serasi dengan sains Islami. Pertama kali saya "kenal" Bohm adalah melalui penulisan buku beliau tentang "Quantum Theory". Buku ini sebenarnya diguna oleh abang saya ketika pengajian ijazah sarjana muda beliau di Universiti Malaya dan akhirnya diturunkan kepada saya. Saya dapati buku ini sangat unik penulisannya dan konsep dikupas dengan begitu jelas dan tertanya juga saya kenapa buku ini dipilih oleh abang saya atau pensyarah beliau kerana terdapat buku-buku lain yang lebih masyhur seangkatan dengan Bohm. Buku Bohm yang saya baca seterusnya ialah buku popular "Wholeness and the Implicate Order" dan saya kira buku ini yang banyak mempengaruhi ilmuwan sains Islami..Selepas buku ini, saya tidak lagi mengikuti perkembangan ideanya (walaupun saya tertarik dengan idea 'rheomode' yang ada kaitan dengan bahasa Semitik/Arab - minat ini akhirnya berubah ke arah memahami asas binaan bahasa matematik) kerana ingin menumpu bidang yang lebih kukuh matematiknya. Seperkara lagi, peribadi saya kurang selesa dengan perkembangan falsafahnya yang lebih bersifat spekulatif yang bagi saya tidak boleh ditelan bulat-bulat. Namun ini tidak mengurangkan rasa hormat kepada sumbangan Bohm dalam pembangunan asas teori kuantum.

Kerjaya akademik Bohm bermula di University of California, Berkeley di bawah kumpulan fizik teori J. Robert Oppenheimer sehingga beliau memperolehi ijazah PhD beliau pada tahun 1943. Penyelidikan pengajian beliau adalah dalam fizik plasma yang ada kaitannya dengan Projek Manhattan dan saya kira penyelidikan beliau termasuk dalam fizik lazim ketika itu. Ketika di situ beliau terdedah kepada unsur-unsur komunisme dan telah menjadi ahli Parti Komunis (1942-1943). Dalam tempoh tersebut beliau mendalami falsafah Marxisme. Mungkin sahaja di sini sudah bermula bibit-bibit kefahaman Bohm menjauhi falsafah positivis Copenhagen dalam teori kuantum kerana memang wujud gerakan intelek di Kesatuan Soviet yang ingin menolak tafsiran teori kuantum Bohr. Dikatakan juga ketika penulisan buku Quantum Theory (berasal dari siri kuliah beliau di Princeton pada 1947-48, beliau sudah mula tidak berpuas hati dengan formalisme teori kuantum. Sejauh mana pengaruh Marxisme dan gerakan intelek Soviet berasaskan materialisme dialektik (pemisahan kewujudan material dari minda) ada pada beliau, tidak dapat kita pastikan, namun keserasian antara cara kefahaman teori kuantum beliau (tafsiran bersebab) dengan materialisme dialektik memang ada.

Dalam suasana politik gentar McCarthyisme, Bohm dituduh bersubahat dengan pihak komunis dan telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada HUAC (House Committee of Un-American Activities) pada tahun 1949. Walau bagaimanapun Bohm menggunakan hak asasi beliau dengan peruntukan Fifth Amendment Perlembagaan Amerika Syarikat untuk tidak bekerjasama dan hanya mahu menjawab persoalan latar belakang dan pendidikan beliau. Keengganan Bohm membawa padah kepada kerjaya beliau. Ketika itu Bohm baru sahaja berpindah ke Princeton University sebagai pembantu profesor (pensyarah). Pada penghujung 1950, Bohm dilarang untuk mengambil sebarang tugas termasuk pengajaran. Akhirnya pada pertengahan 1951, kontrak Bohm di Princeton tidak diperbaharui. Bukan itu sahaja, beliau telah disenaraihitamkan dari mengambil sebarang kerja di sektor akademik Amerika Syarikat. Sebagai catatan menarik, Bohm turut dikecam oleh John Archibald Wheeler dalam buku belaiu bersama Kenneth Ford, "Geons, Black Holes and Quantum Foam: A Life in Physics". Dalam suasana inilah buku teori kuantum beliau dihasilkan yang sudah menunjuk perbezaan cara membincangkan mekanik kuantum. Dalam konteks pengasingan ini jugalah beliau mula memikirkan formalisme alternatif teori kuantum yang turut disambut baik oleh Einstein.

Tanpa peluang pekerjaan di Amerika Syarikat, Bohm akhirnya berpindah ke Brazil pada pertengahan 1951 dengan bantuan pelajarnya dan Einstein, dan akhirnya menjadi profesor di Universiti Sao Paulo pada Okober 1951. Kerisauan penindasan politik tidak berakhir dengan ketibaan beliau di Brazil; pasport Bohm telah dirampas oleh Konsulat Amerika sehingga beliau terpaksa melepaskan kerakyatan Amerika dan menjadi rakyat Brazil pada tahun 1954. Begitulah konteks pengasingan beliau daripada komuniti fizik antarabangsa, tidak dapat bergerak ke mana-mana. Pada masa inilah (1952) beliau mengejutkan komuniti fizik kuantum (walaupun sambutannya sangat terpencil) dengan menerbitkan satu formalisme alternatif teori kuantum melibatkan pembolehubah terselindung yang dahulunya dijangka sebagai mustahil. Juga Bohm telah menyiapkan buku "Causality and Chance in Modern Physics" yang menunjukkan pengaruh Friedrichk Engels.

Pada tahun 1955, beliau berpindah ke Technion di Haifa, Israel dan serba sedikit menyertai semula komuniti fizik antarabangsa. Kerjasama beliau dengan Yakir Aharonov, telah menghasilkan dua penemuan fizik yang membanggakan tapi masih dalam konteks fizik lazim iaitu pengolahan semula masalah EPR dalam bentuk spin (1957) dan kesan Aharonov-Bohm (1959). Pada tahun 1957 sebenarnya, Bohm sudah berpindah ke UK (University of Bristol) dan akhirnya menetap di Birkbeck College pada tahun 1961. Di Birkbeck lah beliau mula bekerjasama dengan Basil Hiley mengenai tertib terimplikasi (implicate order) yang sangat berunsur falsafah. Kecenderungannya untuk berfalsafah (bermula dari tempoh pengasingan beliau di Brazil) menemukan beliau dengan J. Krishnamurti. Perkembangan idea Bohm ketika fasa ini kurang saya ikuti kerana tidak menyentuh aspek fizik yang lebih konkrit. Bohm dalam masa hidupnya telah melalui beberapa masa yang sukar dan episod kemurungan. Bohm akhirnya meninggal dunia pada Oktober 1992.

Rujukan:

  • David Bohm, Quantum Theory, (Dover, 1989)
  • David Bohm, Causality & Chance in Modern Physics, (Routledge, 1984)
  • David Bohm, Wholeness and the Implicate Order, (Routledge, 2002)
  • David Bohm, Unfolding Meaning: A Weekend of Dialogue with David Bohm, (Routledge, 1996)
  • David Bohm, "A Suggested Interpretation of Quantum Theory in Terms of Hidden Variables, Part I", Physical Review 85 (1952) 166-179
  • David Bohm, "A Suggested Interpretation of Quantum Theory in Terms of Hidden Variables, Part II", Physical Review 85 (1952) 180-193
  • D. Bohm & Y. Aharonov, "Discussion of the Experimental Proof for the Paradox of Einstein, Rosen and Podolsky", Physical Review 108 (1957) 1070-1076
  • Y. Aharonov & D. Bohm, "Significance of Electromagnetic Potentials in Quantum Theory", Physical Review 115 (1959) 485-491
  • Russell Olwell, "Physical Isolation and Marginalization in Physics: David Bohm's Cold War Exile", Isis 90 (1999) 738-756
  • Christian Forstner, "The Early History of David Bohm's Quantum Mechanics Through The Perspective of Ludwik Fleck's Thought-Collectives", Minerva 46 (2008) 215-229
  • Oliver Freire Jr, "Science & Exile: David Bohm, the Hot Times of the Cold War, and His Struggle for a New Interpretation of Quantum Mechanics"
  • Loren R. Graham, "Quantum Mechanics and Dialectical Materialism", Slavic Review 25 (1966) 381-410
  • Alexei Kojevnikov, "Probability, Marxism and Quantum Ensembles"
  • Oliver Freire Jr, "A Story Without an Ending: The Quantum Physics Controversy 1950-1970", Science & Education 12 (2003) 573-586

2 comments:

  1. Assalamualaikum Dr Hishamuddin. Semoga sihat. Selamat hari raya Aidilfitri.

    1) Saya tertarik dengan maklumat bahawa buku Causality and Chance in Modern Physics itu dipengaruhi Engels. Agaknya mungkin buku Engels yang bertajuk Dialectics of Nature? Kalau ya, saya rasa terpanggil untuk habiskan baca buku tersebut (pernah baca tapi tak habis). Selama ini saya take for granted yang Bohm seorang Marxist. Tapi tulisan Dr ini buat saya sedar interpretasi teori kuantum beliau bermungkinan besar bertitik tolak daripada fahaman determinisme sejarah dan materialisme dialektik yang jadi teras Marxisme (dan tak mustahil Einstein yang cenderung kepada sosialisme itu juga dipengaruhi idea ini). Nampaknya saya perlu fikir semula kecenderungan saya terhadap determinisme dalam tafsiran Bohm. Terima kasih saya ucapkan.

    2) Saya dapati sejak tahun lepas minat saya terhadap tafsiran Bohm mula pudar selepas saya tahu tentang idea sebenar de Broglie dalam menunjukkan kedualan zarah-gelombang, iaitu penulisan semula hukum gerakan (buang hukum Newton!) berdasarkan penggabungan mekanik dengan optik seperti yang pernah disarankan oleh Hamilton. Pada saya ini secara saintifik dan falsafah jauh lebih radikal...dan mengujakan! Saya dapat tahu hal ini daripada buku Quantum Theory at the Crossroads hasil tulisan G. Bacciagaluppi dan A. Valentini. Mohon komen Dr tentang hal ini. Terima kasih.

    Iqbal

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam. Terima kasih ucapan sdr dan respon kpd makalah ini.
    (1) Sebenarnya saya tidak mendalami bacaan falsafah dan pernyataan saya ttg buku dan pengaruh Engels adalah mengulangi komen yang ada saya terbaca (tak ingat di mana - mungkin salah satu makalah yg terujuk).
    (2) Mengenai deBroglie, saya pun dapat tahu secara terperinci mengenai teori ini melalui buku Jammer, "Philosophy of Quantum Theory". Saya pandang menarik tentang teori "double solution" deBroglie (tak pasti ini yg dimaksudkan sdr) yang mana aspek zarah muncul sebagai singulariti penyelesaian. Pendapat sedemikian juga ada dalam teori medan kuantum melalui konsep "propagator", Cuma bagi mengitlakkan teori deBrogie ini akan menjadi sukar dan kemungkinan besar membawa kpd teori medan kuantum shj.

    ReplyDelete