10.2.09

Membaca Klasifikasi Barbour

Seorang pelajar saya telah memberi komen bahawa blog ini sudah lama tidak diisi. Sebenarnya saya teragak-agak untuk menulis di sini disebabkan blog ini saya kehendaki supaya lebih bersifat falsafah dan keagamaan tetapi saya bukan orang yang terlatih dalam kedua-dua bidang ini. Oleh yang demikian, anggaplah apa yang saya tulis sebagai pendapat orang awam.

Sewaktu cuti Tahun Baru Cina ini, saya cuba habiskan membaca buku Ian G. Barbour, "When Science Meets Religion". Buku ini telah lama saya beli (bersama dengan beberapa buku-buku lain) ketika saya diminta mengulas sebuah buku tempatan yang menyentuh pandangan sains moden. Akhirnya saya tidak jadi mengulas buku tersebut kerana agak sukar untuk saya lakukan dan juga kerana beberapa pandangan peribadi saya.

Barbour sebenarnya seorang ahli fizik yang pernah bekerja dengan Enrico Fermi di University of Chicago. Beliau akhirnya telah memilih untuk menceburi teologi di Yale dan sejak itu melibatkan dirinya dalam membincang isu-isu perbandingan sains dan agama. Atas inisiatif ini, beliau telah dianugerahkan Hadiah Templeton pada tahun 1999.

Dalam buku ini, Barbour mengulas kembali klasifikasi hubungan sains-agama yang beliau pernah kemukakan dalam siri kuliah Gifford, Religion in an Age of Science. Ini diikuti dengan perbincangan kosmologi dan permulaan alam semesta (bab 2), fizik kuantum dan realiti (bab 3), evolusi dan ciptaan makhluk (bab 4), genetik, neurosains dan sifat manusia (bab 5) serta ketuhanan dan alam semulajadi (bab 6) mengikut klasifikasi tersebut.

Klasifikasi hubungan sain-agama Barbour ini dikatakan cukup umum dan hanya terbahagi kepada empat:

  1. Konflik: Agama dan sains dikatakan tidak serasi antara satu sama lain. Dalam konteks agama Kristian, pembacaan Bible secara literal yang sering konflik dengan penemuan sains moden. Pihak sains pula mungkin mengutarakan fahaman kebendaan, menolak sama sekali aspek kerohanian. Agama mungkin diletak sama paras dengan kepercayaan tahyul.
  2. Saling Tiada Persandaran: Agama dan sains dikatakan mempunyai tujuan yang berlainan. Domain perbincangan dan skop fungsian adalah berbeza. Agama dikatakan bersifat kerohanian dan subjektif manakala sains bersifat keduniaan dan objektif.
  3. Keperluan Dialog: Sains dan agama mempunyai pertindihan skop dan kesamaan dalam tujuan dan konsep, membolehkan dialog diadakan. Tambahan pula dikatakan ada kala sains akan menemui persoalan batasannya (limit questions). Kefahaman agama pula dapat diperkukuhkan dengan penemuan dan penjelasan sains.
  4. Penggabungan: Sains dan agama diberi olahan atau penafsiran semula dan disintesis menurut suatu kerangka berasaskan pengetahuan yang ada.
Bagaimana hubungan sains dengan agama Islam? Dapatkah kita buat klasifikasi seperti mana Barbour telah lakukan? Lebih menarik lagi adalah persoalan sama ada Islam pada asasnya memerlukan pengelasan yang berbeza. Kita tinggalkan dahulu kemungkinan ini dan terima pakai kategori di atas.

Untuk konflik, agak sukar bagi kita menerimanya memandangkan proses memahami al-Qur’an tidak terhad kepada pembacaan literal. Apa yang boleh berlaku adalah konflik yang timbul apabila sains yang ditemui di barat tidak diterima terus oleh kita. Penolakan secara total ini juga jarang berlaku; kita juga turut tahu bahawa ilmu itu boleh sampai kepada sesiapa pun (mungkin pengolahannya akan berbeza).

Bagi kategori saling tiada persandaran juga, sukar sekali dapat kita muatkan sains dan agama sebegitu rupa. Apatah lagi bila kita menerima kesyumulan Islam. Namun demikian, kita perlu kaji kategori ini akibat sekularisasi sains.

Saya lebih cenderung kepada kategori ketiga iaitu dialog. Seperti mana yang saya sebut di atas, jarang sekali kita tolak secara total sains barat dan kita turut faham bagaimana sains telah dijauhkan dari agama.

Kemungkinan kategori keempat agak menarik tetapi pada pandangan saya, kategori ini mengandaikan terlalu banyak kesempurnaan kefahaman manusia tentang agama dan kepercayaan kita terhadap sains. Penemuan ilmu sains yang penuh ragu-ragu tidak mungkin digabung secara total dengan kepercayaan dalam ilmu agama.

Wallahu’alam.

7.1.09

Pelan Kemudian Pelan-Pelan

Dalam suasana yang masih hangat resolusi tahun baru, hijriyyah atay syamsiyyah, realiti hidup masih menjadi kekangan bagi sebarang perubahan. Teringat saya kepada kata-kata jenaka dalam salah satu bengkel halatuju: habis pelan tindakan, lepas tu pelan-pelan.

3.1.09

Mantera Yang Tak Dibaca

Tidak lama dulu, saya terserempak dengan buku Haron Daud, "Mantera Melayu - Analisis Pemikiran" (Penerbit USM, 2001) di seksyen buku baru di perpustakaan UPM, lantas saya meminjamnya. Bukanlah saya nak belajar jampi-jampi dan jauh sekali nak jadi pak dukun. Tapi tajuk kecil "analisis pemikiran" membuat saya tertarik untuk mengetahui ada apa-apa yang baru yang dapat dikemukakan oleh buku mengenai pemikiran orang Melayu.

Setelah membaca dalam puluhan muka, saya dengan rabun seni saya mula hilang minat dan lama saya tinggalkan buku ini. Hinggalah apabila hampir sampai tarikh luput pinjaman, saya bergegas membaca laju idea-idea penting buku ini dalam dua minggu lepas. Rupa-rupanya bab "analisis"nya adalah pada hujung buku (Bab 6). Saya cuba mencari konsep atau idea yang dapat saya gunakan untuk mejana idea baru atau sebagai satu teknik novel tetapi kurang berjaya. Namun demikian saya kira usaha pengarang mengumpul lebih 260 mantera adalah suatu yang perlu dihargai - sesetengah mantera yang disebut sangat menakutkan. Penilaian saya mungkin tidak kena tempat, lalu saya cuba lihat bagaimana ahli-ahli dalam bidang ini memandang idea mantera ini. Saya ada membeli buku yang diselenggara oleh Rogayah Hamid dan Mariyam Salim, "Pandangan Semesta Melayu Mantera" (Dewan Bahasa & Pustaka, 2007). Buku ini belum saya baca dan mungkin saya akan perap agak lama ....

29.12.08

Awal Muharram 1430

Ini pos pertama blog berbahasa Melayu saya. Selamat menyambut Awal Muharram tahun Hijriyah 1430!!

Blog berbahasa Melayu ini sudah lama saya ilhamkan. Walaupun saya berpendidikan bahasa Inggeris, tetap saya impikan bahasa Melayu dapat disanjung sebagai salah satu bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu di rantau ini dan di dunia Islam.