1.2.24

Tolok: Mencari Istilah Yang Lebih Baik?

Barangkali ramai kenal saya melalui penulisan dalam bahasa Inggeris termasuk dalam media sosial. Apabila diceritakan saya pernah mengajar mekanik quantum dalam bahasa Melayu, ada yang hairan. Tidak perlu hairan kerana pengajaran sedemikian adalah keperluan pada masa itu, dan apabila ada keperluan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, saya mengajar pula dalam bahasa Inggeris. Namun ini bukan bermaksud saya tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu. Menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa ilmiah merupakan satu perkara mulia yang perlu kita usahakan.

Sebagai rekod, saya rakam kemarahan saya di sini apabila ada yang memperolok-olokkan penggunaan bahasa Melayu tanpa menyedari persendaan yang dibuat turut ada dalam bahasa Inggeris. Antaranya ialah sifat lucah dalam terjemahan satu perenggan perbincangan sains komputer (rujuk di sini), tapi jika disemak kembali perenggan asal bahasa Inggeris, unsur lucah juga boleh sahaja dibuat di situ. Tidak mengapalah. Yang penting adalah kita usahakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dan jika boleh, penggunaan istilah yang lebih tepat daripada penggunaan bahasa Inggerisnya.

Satu istilah yang saya pernah bangkitkan suatu masa dulu ialah teori tolok sebagai terjemahan 'gauge theories'. Pertama, tolok adalah suatu istilah yang bukan diguna secara lazim (kecuali dalam frasa 'tiada tolok bandingan') dan saya sendiri terpaksa menyemak kamus untuk mengetahui maksud sebenar. Bagi yang pernah mengkaji 'gauge theory' memahami bahawa ia merujuk kepada darjah kebebasan dalaman pada medan terlibat dan bukanlah seperti bandingan/rujukan dalam pengukuran air dalam tolok hujan.

Penggunaan 'gauge' sendiri di kalangan ahli fizik sendiri ada diperdebatkan. Yang pasti, kebebasan yang ada pada satu-satu 'gauge' berkait rapat dengan simetri fasa dalam memerihalkan medan yang bersandar kepada ruang-masa (boleh rujuk makalah Schwichtenberg). Mengapa tidak gunakan istilah teori fasa atau teori simetri fasa yang lebih dekat dengan maksud fiziknya. Malangnya fasa turut diguna sebagai istilah dalam memerihal peralihan fasa (phase transition) bagi keadaan jirim. Penggunaan fasa seperti dalam 'gauge theory' lebih kepada aspek kebebasan pilihan fungsi matematik tetapi mempunyai kaitan rapat dengan aspek fizikal medan fizik terlibat. Jadi di sini, wujudnya peluang mencari istilah yang lebih tepat atau mungkin sahaja kita berpuas hati dengan perluasan istilah 'tolok' kepada aspek matematik/fizik yang dibincangkan di atas.

No comments:

Post a Comment