19.5.09

Shaharir di SSUT INSPEM-7

Pada minggu lepas, Institut Penyelidikan Matematik UPM telah mengadakan Seminar Sehari Sempena Ulang Tahun INSPEM ke-7. Antara penceramah undangan di seminar itu ialah Prof. Shahrir Mohamad Zain. Tajuk syarahan beliau adalah "Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza Mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik" (berbeza daripada tajuk yang dihebahkan sebelum itu). Saya telah diminta oleh pelajar saya untuk mengulas syarahan beliau. Sebenarnya saya agak keberatan memandangkan Prof. Shaharir adalah ilmuwan dan pejuang bahasa yang sangat disegani. Namun saya sahut cabaran ini dan cuba mengulas topik yang dibawa mengikut fahaman peribadi saya. Oleh kerana saya tidak mempunyai apa-apa dokumen mengenai syarahan ini, saya terpaksa bergantung kepada ingatan saya yang tak seberapa ini.

Sebenarnya saya tertunggu-tunggu juga apa yang akan diperkatakan oleh Prof. Shaharir kerana beliau telah lama memperjuangkan pengislaman sains dan juga terkemudian pengpribumian sains. Titik tolak hujjah-hujjah beliau adalah sains sarat nilai dan bukannya bebas nilai seperti mana yang disangkakan. Sememangnya perkara ini banyak diperdebatkan dalam skop falsafah sains di Barat dan bukan sahaja di sini. Dari situ, beliau cuba menunjukkan peranan bahasa yang membawa nilai-nilai ini. Beliau mengemukakan beberapa contoh di mana bahasa Melayu secara halus mempengaruhi kefahaman sains di kalangan masyarakat. Bagi saya, contoh-contoh ini penting dan menarik sekali kerana ia menjelaskan bagaimana dia memahami pengaruh bahasa ke atas sains itu. Antara perkara yang saya harap beliau kupaskan adalah mengenai ruang dan masa tetapi mungkin tidak kesempatan. Ada juga contoh yang beliau berikan seperti 2 kali 5 yang saya rasakan perlu dikelaskan sedikit berbeza iaitu apakah ia lebih kepada pengaruh matematik ke atas bahasa dan bukan sebaliknya. Di situ konsep kesamaan dikaitkan dengan hukum boleh tukar tertib (sifat simetri Abelan). Namun demikian, contoh ini menarik untuk dihalusi asal-usulnya.

Secara umumnya, Prof. Shaharir mengharapkan penggunaan bahasa Melayu dalam sains (bermatematik) ini dapat dipergiatkan lagi agar pengaruh halus yang dibawa oleh bahasa itu dapat membawa perkembangan baru atau setidaknya kefahaman yang lebih dapat disesuaikan dengan pemikiran Melayu.

Satu persoalan menarik timbul dalam sesi soal jawab ialah bagaimana usaha penonjolan pengaruh bahasa Melayu ini dimuatkan dalam konteks memahami agama Islam. Ini menarik kerana kedua-dua agama dan sains membuat tuntutan sarwajagat (universal claims) dan jawapan Prof. Shaharir merujuk kepada hukum 'urf dalam fiqh juga menarik. Hukum 'urf dari segi tatasusunan (hierarchy) sumber hukum adalah lebih rendah dan lebih merujuk kepada perkara-perkara khusus dan bukan yang umum. Ini membawa persoalan menarik dari segi tatasusunan dalam pengislaman (atau pengpribumian) sains. Apakah perlu dileraikan antara yang umum dan yang khusus? Saya rasa banyak perkembangan dapat dilakukan dalam konteks ini, malah ada baiknya kajian sains Islam merujuk kepada kemajuan yang dibuat dalam usul fiqh. Wallahu'alam.

1 comment:

'ain said...

Terima kasih dr...

Post a Comment