23.8.09

Memahami Pengisytiharan Pemikiran dan Pengamalan Islami

Saya memiliki dua buah buku oleh Mohd Zaidi Abdullah yang salah satunya telah saya lengkapkan pembacaannya baru-baru ini (dibaca perlahan-lahan dalam tempoh yang agak lama). Buku"Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami" agak unik kerana sebenarnya ia mengumpulkan esei atau makalah yang ditulis oleh para ulama dan ilmuwan merentasi generasi berbeza. Buku ini saya pilih dibaca dahulu daripada yang satu lagi (Nafas Baru Hikmah Al-Isyraqi) kerana saya beranggapan buku ni akan menerang terlebih dahulu apakah asas pemikiran Ustaz Zaid.

Sebagai orang awam yang hanya tahu amat sedikit sekali tentang tasawwuf dan tradisi sekolah pondok melalui pembacaan rawak, terus-terang saya katakan buku ini agak sukar untuk dibaca. Khususnya makalah oleh ulama silam; contohnya makalah oleh ulama alam Melayu, tidak disebut samada yang termuat itu adalah teks yang diambil terus oleh manuskrip asal (sekadar mengagak, mungkin tidak - dari gaya bahasa), atau telah diulas semula oleh penyunting. Begitu juga makalah ulama silam yang sudah tentunya diterjemah tapi apakah dari teks asal atau selainnya dan berkmungkinan juga sudah diulas semula. Mengambil penulisan ini dari sudut akademik, maklumat ini perlu dimaklumkan dan jika dari sudut penulisan popular, eseinya agak berat dan perlu diperjelas, dipermudahkan dengan lebih sistematik.

Tulisan Ustaz Zaid sendiri memenuhi buku ini di beberapa tempat. Antara yang menarik bagi saya adalah "Kejayaan Kaedah Pengajian Ulama Silam", "Pembangunan Islami Menurut Sheikh Mukhtar 'Atarid Bogor" dan "Pemerintahan Secara Islam: Dalam Pengamatan Sheikh Ahmad al-Fatani" kerana fakta sejarah yang sekali gus menonjol aspek tradisi keilmuan Islam di dunia Melayu. Yang lebih menjurus kepada falsafah yang dibawa oleh Ustaz Zaid terdapat di makalah "Sains Semasa: Antara Realiti dan Sikap" (di hujungnya) dan "Jalinan Ilmiah Asas Estetika Islam". Di situ disebut mengenai ilm-huduri dan al-hikmah sebagai induk bagi ilmu-ilmu. Harapan saya kedua-dua konsep ini dapat dikupas dengan terperinci lagi khususnya apabila ditembungkan dengan falsfah sains moden (yakni barat). Akhir sekali, makalah awal (al-Usul Menuju Manifesto) dan makalah penutup (Khatimah Sebagai Manifesto) beliau merupakan pengikat kesemua makalah yang ada dalam buku ini.

Buku ini turut memuatkan beberapa penulis moden seperti Prof. Osman Bakar, Dr. Mohammad Alinor dan Prof. Shahidan Radiman. Sebenarnya pendorong saya untuk memiliki buku Ustaz Zaid adalah kaitan beliau dengan Prof. Shahidan. Prof. Shahidan merupakan salah seoarang rakan saya ketika di University of Cambridge dahulu. Dua makalah beliau ada termuat di buku ini: "Penerapan Tauhid Dalam Sains dan Teknologi" dan "Mekanik Kuantum dan Kesufian". Ada beberapa perkara yang saya tidak dapat bersependapat dengan apa yang beliau tulis berasaskan kefahaman fizik saya (dan bukan dari sudut tasawwuf yang pengetahuan saya hampir sifar, jika tidak sifar). Contoh jelas adalah bandingan quantum teleportation dan wormhole sudah tentu berlainan aspek apa yang dipindahkan dan tidak boleh dibanding secara terus (melainkan pengarang juga berfikir yang dipindahkan itu juga harusnya berlainan). Juga, sedikit perasaan kurang selesa berlaku apabila teori-teori fizik terkini secara mudah disesuaikan atau dibandingkan dengan pengetahuan Islam atau pengalaman ahli sufi.

Makalah Dr. Alinor (Pembangunan Linguistik Matematik dan Kaitannya dengan Ilmu Tatabahasa) juga begitu menarik kerana ada merujuk kepada teori akar Arab (root words). Secara terpendam, saya sudah lama berminat dengan usaha-usaha ilmuwan seperti Toshihiko Izutsu, Sakir Kocabas dan Moha Lhousni (rakan saya ketika di University of Durham) yang menggunakan aspek permasalahan bahasa dalam membangunkan teori atau falsafah dalam sains Islami.

Secara keseluruhan usaha murni Ustaz Zaid ini perlu dialu-alukan dalam memperkayakan penulisan sains Islami. Namun dirasakan buku ini boleh diperbaiki lagi dari segi tatasusunannya khususnya penyusun mungkin boleh menjelaskan kenapa makalah-makalah diatur sedemikian rupa bagi memudahkan pembaca untuk menangkap apa tujuan setiap makalah itu secara bersistem.

No comments:

Post a Comment