12.2.12

Teks Ucapan Hari Inovasi INSPEM 2010

Ini adalah teks ucapan saya pada Hari Inovasi INSPEM 2010 pada 31 Januari 2012. Hari Inovasi ini merupakan hari yang disambut setiap tahun sebagai ganti Hari Q dan kali ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada sumbangan warga INSPEM pada tahun 2010.

Y.Bhg. Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Universiti Putra Malaysia
Prof. Dr. Tai Shzee Yew

Y.Bhg. Pengarah Institut Penyelidikan Matematik

Prof. Dato’ Kamel Ariffin Mohd Atan

Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Talib

Timbalan Pengarah, Timbalan -timbalan Dekan, tetamu-tetamu jemputan, Ketua-ketua Laboratori

Rakan-rakan seperjuangan dan seluruh warga INSPEM yang dihormati.

Assalamualaikum w.r.b. dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya mengucapkan syukur alhamdulillah ke atas penganugerahan ini yang tidak saya sangka akan dapat. Sebenarnya dalam hati saya, diri ini rasa begitu kerdil sekali untuk mendapat anugerah ini kerana rasanya banyak lagi yang saya belum dapat lakukan untuk INSPEM atau UPM mahupun untuk kerjaya saya sendiri. Namun, saya ingin berterima kasih kepada pihak INSPEM yang begitu menaruh kepercayaan kepada saya untuk menerima anugerah ini. Sebarang kejayaan yang ada saya rasa hanyalah keinginan saya untuk menjadi sebahagian daripada organisasi yang berjaya (to be part of some success) yakni INSPEM dan semuanya ini berlaku dengan sokongan padu oleh pengurusan INSPEM dan semua staff.

Sedikit perasaan gerun saya apabila mendengar perkataan “tokoh” yang dikaitkan dengan anugerah ini kerana tokoh membawa maksud orang ternama yang membawa identiti organisasi tersebut. Saya rasa diri ini tidak termasuk dalam golongan ternama, tapi hanya orang yang bernama, nama yang diberi oleh kedua arwah ibu bapa saya.

Oleh sebab saya diminta memberi sedikit ucapan, izinkan saya berkongsi, apa yang saya cita-cita untuk buat bersama INSPEM. Institut sebagai peneraju penyelidikan, saya pandang sebagai tempat di mana dibangunkan suasana yang memberangsangkan para penyelidik khususnya dalam ilmu sains matematik. Sedikit sebanyak, saya dengan rakan di laboratori cuba lakukan ini dengan pelbagai aktiviti sama ada konferensi, seminar kumpulan berkala, kursus, penerimaan saintis pelawat dan lain-lain aktiviti percambahan idea penyelidikan, dengan sasaran meningkatkan lagi kualiti penyelidikan kami.

Sebagai contoh aktiviti yang saya terlibat secara langsung adalah Expository Quantum Lecture Series (EQuaLS). Aktiviti EQuaLS ini telah dapat membawa ramai saintis terkemuka dari luar negara ke INSPEM dan saya rasa telah memberi perkembangan positif kepada komuniti ahli fizik teori dan sains matematik berkaitan. Dengan EQuaLS, tahap penyelidikan fizik teori, khususnya kumpulan penyelidikan saya sendiri dapat dipertingkatkan ke tahap yang diterima baik oleh komuniti antarabangsa. Malah secara tak langsung, ia menghidupkan semangat EQuaLS; berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pakar-pakar antarabangsa. Bukanlah tujuan saya untuk mendabik dada di sini, cuma pandangan peribadi bahawa jika benar tahap antarabangsa yang ingin kita tuju, maka interaksi dengan pakar antarabangsa seperti di EQuaLS merupakan langkah praktikal. Di sini, saya ingin berkongsi lagi perkara yang lazim saya beritahu kepada pelajar-pelajar saya: kita kini sudah sampai ke fasa berkebolehan untuk berbual dengan pakar luar negara tanpa rasa takut dan dapat pula memahami segala penyelidikan kompleks yang mereka buat. Fasa seterusnya yang patut kita tuju adalah menjana idea-idea yang begitu asli menandingi mereka di luar negara, mampu berdebat (konstruktif) dengan mereka. Apabila kita sampai di sana, tidak perlu kita hirau lagi status antarabangsa itu kerana kita telah membuat standard sendiri.

Fizik teori merupakan bidang yang menemukan hukum alam yang baru dan para ahli fizik teori lazimnya disegani di kalangan komuniti fizik. Juga, ia berkait rapat dengan penjanaan banyak konsep baru matematik. Selama ini saya telah cuba usahakan bidang ini agar tidak lagi digeruni oleh pelajar tempatan. Dahulu (80an) komuniti fizik teori di Malaysia dapat dikira dengan jari, saya kenal semua ahlinya. Kini, sudah wujud generasi baru ahli fizik teori yang saya sendiri tidak begitu kenal atau belum kenal lagi. Dahulunya kami bekerja dalam subbidang berasingan, tapi kini sudah wujud kelompok-kelompok kecil dalam subbidang tertentu. Dalam bidang yang berkait terus dengan teori kuantum, contohnya, sudah ada kumpulan di Universiti Malaya dan di Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, selain di UPM. Di UPM, kita sudah membuka sekurang-kurangnya tiga halatuju:

  • Asas binaan kuantum dan pengkuantuman
  • Teori kuantum di ruang hiperbolik – berkait rapat dengan geometri, teori kumpulan dan teori nombor
  • Aspek geometri dan topologi dalam teori maklumat kuantum
 Selain itu, kita juga membuka hala tuju penyelidikan
  • Kosmologi bermatematik
  • Rangkaian kompleks
Kesemua topik ini juga berkait rapat perkembangan matematik baru. Di luar negara, didapati ahli fizik teori akan bekerja sama dengan ahli matematik dalam penyelidikan mereka. Saya rasa perkara ini dapat juga dilakukan di sini. Di luar negara, sempadan antara satu-satu disiplin kian hilang. Malah kita dapati gabungan lebih besar: fizik-matematik-sains komputer mula membuak-buak. Kita juga tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan terbaru ini. Pada tahun lepas, kita telah pun membuat jaringan dengan University of Auckland untuk satu inisiatif yang saya anggap berani. Inisiatif ini akan meneroka teori-teori seperti logik kuantum, struktur boleh komputasi (computable structures), struktur automata yang melibatkan unsur-unsur fizik, matematik dan sains komputer. Saya kira kita bernasib baik mendapat peluang untuk bekerjasama dengan pakar-pakar seperti Prof. Bakhadyr Khoussainov (pakar logik) dan rakan-rakannya yang lain. Besar harapan saya agar inisiatif mendapat sambutan dan sokongan dari semua rakan-rakan dan moga-moga membuahkan hasil yang berimpak tinggi.

Jelas sudah bahawa banyak yang saya perkatakan ini belum tercapai, masih diusahakan dan ada masih tahap cita-cita. Seperti saya katakan pada awal ucapan, banyak lagi yang belum dapat saya lakukan. Saya berharap pihak INSPEM dan UPM masih lagi dapat menerima usaha-usaha ini. Doa saya agar usaha ini memberi kita ilmu yang bermanfaat (tidak sia-sia) dan diberi laluan yang mudah.

Akhir kata, saya ingin berterima kasih dengan pelajar dan rakan-rakan saya di INSPEM dan Fizik; semua pegawai INSPEM, ahli pengurusan, Dato’ Pengarah sendiri yang telah memberi sokongan kepada saya selama ini. Juga tidak dilupakan keluarga saya; isteri saya Rosnah Mustapa; anak-anak saya, Khair, Ihsan (yang akan ke sekolah asrama baru hari ini; tidak dapat saya hantar), Izhar dan Izzuddin. Apa yang baik adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah dari sifat insan diri saya sendiri.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment