Tidak berapa lama dahulu, saya terlibat dengan sedikit perbincangan di FB kerana rasa terpanggil untuk menyuarakan sesuatu. Di situ, secara tak langsung saya telah memberi komitment untuk membincangkan beberapa aspek akademik mengenai buku Prof. Shaharir di sini. Perlu saya tekankan di sini, saya tiada hasrat untuk berdebat, cuma ingin mengetahui apa yang "lebih benar" dan apa yang "lebih baik". Kadangkala saya lihat mod perdebatan menjadi arena nafsu menegakkan pendapat sendiri tak kira apa pun sehingga hilang semua rasa hormat dan ini saya ingin elak.
Sebelum membuat apa-apa perbincangan di sini, ingin saya sebut serba sedikit tentang diri saya dan juga pendirian supaya jelas di mana saya dalam perbincangan nanti. Pertama, tentang diri saya yang dididik dengan sistem barat, dari persekolahan awal hingga ke universiti. Ini saya tidak dapat nafi dan tidak dapat saya elak, Tapi adakah ia menafikan saya langsung untuk berfikir sebagai seorang Muslim, seorang Melayu? Sudah tentu dan alhamdulillah tidak. Pasti akan ada pengaruh Melayu dan pengaruh barat dalam diri ini, terpakej semuanya dengan kebaikan dan keburukannya sekali. Dalam hal ini, saya pernah dilabel sebagai orang kebaratan dengan begitu hebat sekali. Kadangkala sampai ke satu tahap yang merungsingkan saya. Pernah beberapa tahun yang dahulu, seorang ketua saya bertanya samada saya sembahyang atau tidak kerana agaknya penampilan saya begitu kebaratan. Ada juga pengarang yang menulis dalam bukunya bahawa saya menulis nama saya dalam penerbitan ala kebaratan walaupun saya anggap ini bukan isu besar - lazimnya terikut dengan borang di barat yang memerlukan surname (nama keluarga), dan apabila dipanggil secara formal akan dipanggil mengikut surname tersebut. Amalan Melayu tiada nama keluarga tetapi nama sendiri diikuti dengan nama bapanya dan di barat mereka memanggil saya Dr. Zainuddin. Adakah saya tergila-gila untuk mengikuti aspek ini? Saya rasa tidak. Saya kenang kembali (lama dahulu sebelum adanya buku tersebut) dalam suatu bengkel pelan strategik dan timbul perbincangan tentang strategi menaikkan penerbit universiti. Dalam perbincangan itu, saya sarankan supaya penerbit universiti mengeluarkan satu manual standard sendiri sepertimana Penerbit University of Chicago menghasilkan The Chicago Manual of Style. Antara saranan saya supaya menghasilkan satu standard untuk penulisan nama orang Asia yang lain cara pemberian nama daripada barat; orang Melayu dengan nama sendiri bersama nama bapa dan orang Cina dengan nama keluarganya di depan dan bukan di belakang; bagaimana untuk membeza-beza cara nama ini. Atas saranan ini, saya ditertawakan dan bagi saya tidak mengapalah; tidak saya ingin perbesarkan aspek ini dan tidak juga saya ingin tidak memperdulikan langsung (isu itu tetap ada). Saya hanya ingin menyumbang idea dan perkara ini bukan medan perjuangan saya. Atas isu barat atau tidak, saya cuba mengambil yang baik dari mana-mana tamadun, cuba elak daripada mana-mana yang tidak baik dan saya momohon agar saya diberi hidayah oleh Nya dalam hal ini.
Kedua adalah isu sains Islami yang saya sokong pembangunannya tetapi bertempat. Saya lebih cenderung dengan pendapat sains Islami yang benar-benar wujud setakat ini adalah ilmu tafsir, ilmu hadits, imu fiqh, ilmu falaq yang telah lama dibangunkan oleh sarjana Islam terdahulu dan tidak pula saya menidakkan wujudnya sains Islami yang lain. Saya turut membaca dan mengikuti pelbagai usaha sains Islami dahulu dalam tahun 80 dan 90-an. Dahulunya saya pernah berlanggan dengan MAAS Journal of Islamic Science. Pernah saya bincang dengan Prof. Shaharir tentang minat saya ini tetapi saya turut sebut kekecewaan saya tentang tiada perkembangan lanjut (yang berbeza) tentang sains Islami. Harapan saya adalah mungkin supaya ia berkembang ke tahap yang lebih mendalam falsafahnya, lebih analitik, mengemukakan idea baru, mengatasi apa-apa masalah sains sedia ada. Apabila saya menyebut perkara ini, bukanlah saya memperkecilkan usaha yang telah ada kerana saya memahami kesukaran yang akan dilalui (jika mudah, mungkin saya terlebih dahulu yang buat). Saya sambut baik misalnya usaha yang dilaku oleh Dr. Mat Rofa, Dr. Alinor dan Prof. Shaharir yang menyelongkar semula khazanah muslim terdahulu dan juga khazanah alam Melayu. Mungkin perlu saya ingin ungkit kembali (kerana ramai tidak tahu dan bukan pula saya nak bermegah) ketika Laboratori Inovasi dalam Pendidikan Matematik (yang menjalankan penyelidikan Etnomatematik) hampir disarankan untuk ditutup. Saya menyuarakan pendapat yang berbeza ketika itu dan mengatakan kebaikan adalanya laboratori yang memperjuangkan falsafah sains matematik termasuk aspek pendidikan. Alhamdulillah, laboratori ini diteruskan dalam bentuk Laboratori Etnomatematik dan Didaktik. Juga, baru-baru ini dalam membincangkan pembentangan ketua laboratori untuk visi institut dalam majlis sambutan ulangtahun ke-10, saya turut menyokong saranan Dr. Mat Rofa untuk membincangkan aspek pengdokumentasian sebagai satu visi dan misi penting walaupun ada yang menyarankan perkara lain. Dengan ini saya berharap tiada yang berpandangan saya menentang pembangunan sains Islami.
Ketiga, saya turut mementingkan pengkhususan walaupun secara ideal konsep kesatuan ilmu itu ada. Bagi saya sendiri, pengkhususan saya ialah fizik teori (lebih khusus lagi teori kuantum) namun minat saya turut ada dalam banyak bidang yang lain. Saya rasa diri ini tidak dapat memperjuangkan sepenuhnya dalam bidang sains Islami kerana tiada kebolehan berbahasa Arab yang saya anggap penting untuk memahami al-Qur'an dan membaca sumber asli khazanah muslim terdahulu. Bukannya tidak mahu ceburi sains Islami dengan lebih dekat. Apa yang saya boleh buat memberi pandangan tentang aspek fizik teori (sepertimana dalam perbicnagan FB terdahulu) kerana itu kepakaran yang saya ada. Dan bukan pula sebarang komen saya ini untuk mempertahankan bidang ini dalam konteks territorialisme. Saya rasa tiada individu boleh mengatakan dia tahu semuanya apatah lagi mempunyai pengalaman yang mencukupi. Di sinilah pengkhususan akan memainkan peranan dan bukan untuk mengecualikan orang lain untuk mengatakan sesuatu. Manusia biasa tidak mampu meneliti kesemua ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya mengikut kaedah capaian imu yang lazim. Dalam dapatan penyelidikan kumpulan etnomatematik yang saya baru tahu (dan adanya juga yang saya tahu sebelumnya melalui pembacaan sendiri). Begitu juga dalam bidang fizik teori itu sendiri, Banyak benda baru yang telah ditemui yang belum saya pelajari. Saya percaya begitu juga untuk orang lain. Bagi mengatasi perkara ini, perkongsian ilmu perlu dengan rasa hormat kepada ilmuwan berlainan. Saya memilih fizik teori kerana laluan didikan sudah sedemikian. Saya juga memandang pengkhususan dalam fizik teori ini juga satu 'fardhu' kifayah seperti mana orang lain menganggap bidangnya sedemikian juga. Malah bilangan ahli fizik teori muslim di tanah air masih kecil dan berbeza-beza pula subbidangnya.
Akhir sekali, saya selalu mengambil jalan tengah bagi bab ilmu relatif ini dan tidak ekstrim dalam menyatakan pendapat. Selain daripada perkara yang harus diyakini dan yang sudah diyakini, hati ini selalu berdetik, menanyakan apakah yang saya tahu itu benar dan bermanfaat dan tidak berasaskan syak wasangka, andaian dan tidak pula sia-sia. Moga-moga diberi hidayah dan dilindungi daripada kesesatan dan perkara yang sia-sia.
No comments:
Post a Comment