Pihak admin Majalah Sains baru sahaja memuat naik makalah pertama yang saya tulis khas untuk majalah tersebut (tdak muncul di mana-mana blog saya). Tujuan utama makalah tersebut adalah untuk melihat bagaimana konsep entropi telah berubah semenjak ia muncul pada zaman perindustrian kurun ke-18 dan kurun ke-19 dan kini pada zaman teknologi maklumat.
Di sini, apa yang ingin dibincangkan adalah penggunaan istilah bagi konsep saintifik, yang dipinjam terus daripada bahasa lain. Pinjaman secara terus sebegini lazimnya mengisyaratkan suatu kekurangan atau ketiadaan konsep berkaitan secara semulajadi dalam minda dan pertuturan Melayu. Bagi memahami konsep tersebut, biasanya akan dibangunkan dalam minda suatu struktur dan lapisan konsep yang bersandar kepada bahasa yang dipinjam.
Sesuatu yang menarik berlaku kepada entropi yang dipinjam secara mudah daripada perkataan entropy. Perkataan entropy itu sendiri tiada dalam bahasa Inggeris (atau bahasa Jerman pada asalnya). Malah perkataan ini adalah gabungan dua perkataan Greek iaitu en (dalam) dan trope (bertukar atau transformasi). Penggunaan trope itu sendiri memnpunyai pengaruh zaman perndustrian kerana apa yang ingin disampaikan ketika itu adalah transformasi tenaga haba kepada kerja mekanikal.
Apabila Boltzmann (dan kemudian Gibbs) mengkaji haba secara mekanikal, muncul gambaran yang baharu. Boltzmann pada dasarnya menggunakan hipotesis kekalutan molekul (molecular chaos) untuk membangunkan teorinya. Hipotesis sedemikian akhirnya mengaitkan ketidakteraturan dengan entropi. Gambaran ketidakteraturan bagi entropi menjadi popular sehingga kini walaupun terdapat fenomena biasa yang sendiri menyangkal gambaran tersebut. Contohnya apabila susu dituang dalam kopi, kelihatan pada mulanya 'tidak teratur' tetapi apabila dikacau, kopi susu itu kelihatan bendalir sekata (homogen) dan bukan tidak teratur. Secara fiziknya, kopi susu yang homogen itu lebih tinggi entropinya (akibat entropi pencampuran) berbanding dengan entropi kopi yang baru ditambah susu.
Maka entropi sebagai ketidakteraturan secara umumnya adalah tidak tepat. Di sini, nasib baik kita tidak guna perkataan baharu berdasarkan gambaran tidak teratur untuk konsep entropi; kita pinjam terus perkataan entropy.
Apakah tiada 'gambaran' langsung yang kita boleh kaitkan dengan konsep entropi? Ketika ini wujud fahaman baharu tentang entropi; ia dikatakan sebagai 'darjah kejahilan' tentang satu-satu sistem. Bagaimana pula fahaman ini timbul? Kita kembali kepada contoh kopi di atas. Ketika susu dituang ke dalam kopi kita masih dapat menentukan keadaan kopi di mana dan susu di mana. Apabila telah dikacau, maka kita tidak lagi dapat mengatakan di mana susu dan di mana kopi iaitu 'jahil' mengenai keadaan kopi dan keadaan susu.
Walaupun dalam contoh di atas, fahaman entropi sebagai darjah kejahilan mungkin agak ganjil atau kelihatan dibuat-buat, secara teknikalnya pengiraan khusus boleh dibuat secara mekanik statistik menggunakan konsep mikrokeadaan. Sebagai contoh, bagi suatu keadaan tenaga sistem, terdapat beberapa konfigurasi mikrokeadaan yang boleh menghasilkan tenaga sistem tersebut. Setiap satu mikrokeadaan dapat diberi kebarangkalian dan entropi dapat dikira berdasarkan kebarangkalian yang diberi. Aspek kebarangkalian tersebut secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan 'darjah kejahilan' yang kita sebut sebelum ini.
Jika dikaitkan darjah kejahilan dengan entropi, apakah tiada perkataan lain yang boleh diguna untuk mencerminkan aspek 'jahil'. Di sini, secara separa serius, boleh diusulkan perkataan yang dibina di atas perkataan entah (cerminan kejahilan). Sebagai contoh entahal adalah gabungan dua perkataan iaitu entah dan hal. Walau bagaimanapun komuniti sains di sini sudah biasa dengan perkataan entropi dan tidak perlu diganti dengan entahal. Yang penting, maksud entropi itu difahami dengan maksud teknikalnya.

