7.2.10

Membaca dan Membangun Sains Islami

Bismillahirrahmanirrahim.

Sains Islam atau istilah yang saya lebih cenderung waktu kini (mengikut Ustaz Mohd Zaidi Abdullah), Sains Islami merupakan suatu perkara yang kerap kali kita dengar dan bagi penulis sendiri ingin cuba selami. Jika ditanya apakah sains Islami itu, kita mungkin menemui pelbagai jawapan tapi jawapan mudahnya adalah sains dalam kerangka pandangan alam (jiwa?) Islam (Islamic worldview). Jawapan ini sebenarnya menimbulkan persoalan-persoalan lain seperti apakah kerangka yang dimaksudkan, apakah perbezaannya dengan sains lazim dan seterusnya. Terus terang, saya menulis sebagai orang awam yang masih mencari jawapan. Kadangkala rasanya tersangat sukar sekali bagi diri yang kerdil ini untuk cuba menceburi bidang ini. Bolehkah seorang yang dididik di Barat, tidak mempunyai pendidikan formal Islam dan banyak pula terpengaruh oleh budaya Barat melibatkan diri dalam sains Islami? Bolehkan orang awam yang hidup dalam zaman penuh fitnah, berbudaya hiburan dan begitu jauh dari menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dapat membangunkan sains Islami? Sudah tentu sukar sekali, namun usaha perlu diteruskan.

Untuk itu, saya kini membaca sebuah buku kecil berjudul "Islamic Science - Towards A Definition" oleh Alparslan Acikgenc, terbitan ISTAC. Titik tolak definisi ciri Islami Prof. Alparslan dapat dikatakan bermula dengan takrifan Islamisasi Prof. Al-Attas iaitu liberalisasi daripada magis, dongeng, animisme, budaya setempat yang bercanggah dengan Islam serta pengawalan sekular dalam pemikiran dan bahasa. Sebagai pemerincian, Alparslan mengupas aspek dan fungsi pandangan alam dengan strata strukturnya. Antara penekanan yang menarik adalah perlunya sofistikasi (sophistication) struktur pengetahuan secukupnya untuk membangunkan aktiviti sains (Islami). Justeru itu, akan wujud pandangan alam yang tidak mungkin boleh membangunkan sains. Alparslan secara pintas lalu memberi rujukan kepada Arab pra-Islam dan zaman gelap Eropah tetapi tidak menghuraikan lebih lanjut. Menarik sekali sekiranya dapat didalami atau diilustrasikan bagaimana ciri-ciri pandangan alam (seperti elemen tahyul dan peringkatnya) yang memustahil atau membantut sebarang pembangunan sains.

Bagi saya, aspek keperluan sofistikasi struktur pengetahuan yang secukupnya untuk pembangunan sains perlu kita titikberatkan. Perkara ini mirip dengan teori von Neumann bagi automata swa-membiak yang turut menyatakan keperluan struktur yang cukup canggih bagi swa-pembiakan. Alparslan dalam dua bab berikutnya menunjukkan bagaimana tamadun Islam awal telah membangunkan struktur pengetahuan yang cukup canggih sehingga menghasilkan ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu fiqah dan ilmu sains awal yang begitu organik dengan Islam. Persoalannya sekarang apakah tahap pembicaraan dan struktur pengetahuan falsafah sains (Islami) yang ada kini sudah mencapai tahap kompleksiti yang dikehendaki untuk membangunkan sains Islami seterusnya? Pada amatan Alparslan di hujung bukunya, jawapannya adalah tidak kerana kita masih banyak meminjam dari Barat.

Apakah mungkin kita tidak meminjam dari Barat? Secara prinsipnya boleh tetapi saya rasa ini hanya memberatkan para ilmuwan sains Islami. Seperti Alparslan terangkan di beberapa tempat, wujud elemen-elemen universal dalam sains kini yang merentas bentuk pandangan alam Barat atau Islami. Elemen-elemen sedemikian boleh dibangunkan semula dalam pandangan Islami tetapi ia perlu kepada kepakaran disiplin sains masing-masing. Usaha ini sudah tentu memakan masa tetapi jika persoalan sains yang fundamental diutamakan dahulu, mungkin impaknya lebih besar dan tempoh Islamisasi akan lebih singkat. Ini adalah kerana persoalan fundamental akan menjuruskan penyelidik kepada tahap kompleksiti pengetahuan yang disebutkan sebelum ini. Wallahu A'lam.

31.12.09

Ada Apa Pada Nama

Sekadar mengisi masukan terakhir tahun ini. Kini isu PPSMI mungkin sudah kurang didebatkan kecuali pihak yang pro-PPSMI pulak yang mungkin akan menyuarakan ketidakpuasan mereka. Bagi saya secara peribadi, bukanlah tentang debat itu sangat tetapi apakah pengisian yang dibuat untuk satu-satu pendapat. Kini para pecinta bahasa berpeluang untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu secara berfokus dan malanglah sekiranya peluang ini hanya untuk mengekalkan status quo. Harapnya tidak ada lagi komen jenaka seperti apakah terjemahan bagi perenggan berikut:

"That server gives a plug and play service to the client using either hardware or software joystick. The joystick goes into the port of the client."

Tak perlu saya beri terjemahannya di sini yang dijadikan sebagai bahan jenaka kerana mirip kepada bahan lucah. Jika difikirkan, istilah bahasa Inggeris yang dipakai dalam perenggan di atas juga boleh membawa maksud lucah jika kita ingin berfikiran demikian. Sebenarnya istilah bahasa Inggeris itu sendiri mungkin sudah bermasalah tetapi disebabkan kelaziman, perkataan tersebut membawa maksud yang dikehendaki.

Di sini, saya tidak mahu membincang sangat istilah sains komputer kerana bukan kepakaran saya tapi saya ingin membawa perbincangan kepada istilah fizik khususnya dalam bidang terkehadapan. Banyak antara istilah yang dipakai dalam bidang fizik terkehadapan mungkin dibuat secara terburu-buru dan tidak menggambarkan pengertian fizik yang dikehendaki. Dalam kes sebegini, sebenarnya kita berpeluang besar untuk mencari istilah yang benar-benar sesuai dan membawa pengertian fizik yang sepatutnya. Sebarang istilah, jika sudah ada, masih dapat kita ubah kerana penggunaannya mungkin masih jarang (kerana bidang terkehadapan).

Beberapa istilah fizik yang saya fikirkan adalah seperti:
  • gauge invariance/symmetry - simetri ini berasaskan transformasi faktor fasa
  • wormholes - objek ruang-masa yang dapat dilalui tanpa menemui titik singulariti
  • grand unified theory - teori yang menyatukan hanya tiga jenis daya sahaja (adakah ia 'grand')
  • theory of everything - kerangka teori yang melibatkan semua daya (tapi adakah segala-galanya)
  • colour charges - cas yang dibawa oleh kuark dan gluon (bolehkah kita elak daripada menyebut kuark merah?)

Saya rasa banyak lagi istilah yang boleh kita pertimbang semula penggunaannya supaya istilah bahasa Melayu lebih tepat memerihalkan ciri atau proses fiziknya. Wallahu'alam.

23.8.09

Memahami Pengisytiharan Pemikiran dan Pengamalan Islami

Saya memiliki dua buah buku oleh Mohd Zaidi Abdullah yang salah satunya telah saya lengkapkan pembacaannya baru-baru ini (dibaca perlahan-lahan dalam tempoh yang agak lama). Buku"Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami" agak unik kerana sebenarnya ia mengumpulkan esei atau makalah yang ditulis oleh para ulama dan ilmuwan merentasi generasi berbeza. Buku ini saya pilih dibaca dahulu daripada yang satu lagi (Nafas Baru Hikmah Al-Isyraqi) kerana saya beranggapan buku ni akan menerang terlebih dahulu apakah asas pemikiran Ustaz Zaid.

Sebagai orang awam yang hanya tahu amat sedikit sekali tentang tasawwuf dan tradisi sekolah pondok melalui pembacaan rawak, terus-terang saya katakan buku ini agak sukar untuk dibaca. Khususnya makalah oleh ulama silam; contohnya makalah oleh ulama alam Melayu, tidak disebut samada yang termuat itu adalah teks yang diambil terus oleh manuskrip asal (sekadar mengagak, mungkin tidak - dari gaya bahasa), atau telah diulas semula oleh penyunting. Begitu juga makalah ulama silam yang sudah tentunya diterjemah tapi apakah dari teks asal atau selainnya dan berkmungkinan juga sudah diulas semula. Mengambil penulisan ini dari sudut akademik, maklumat ini perlu dimaklumkan dan jika dari sudut penulisan popular, eseinya agak berat dan perlu diperjelas, dipermudahkan dengan lebih sistematik.

Tulisan Ustaz Zaid sendiri memenuhi buku ini di beberapa tempat. Antara yang menarik bagi saya adalah "Kejayaan Kaedah Pengajian Ulama Silam", "Pembangunan Islami Menurut Sheikh Mukhtar 'Atarid Bogor" dan "Pemerintahan Secara Islam: Dalam Pengamatan Sheikh Ahmad al-Fatani" kerana fakta sejarah yang sekali gus menonjol aspek tradisi keilmuan Islam di dunia Melayu. Yang lebih menjurus kepada falsafah yang dibawa oleh Ustaz Zaid terdapat di makalah "Sains Semasa: Antara Realiti dan Sikap" (di hujungnya) dan "Jalinan Ilmiah Asas Estetika Islam". Di situ disebut mengenai ilm-huduri dan al-hikmah sebagai induk bagi ilmu-ilmu. Harapan saya kedua-dua konsep ini dapat dikupas dengan terperinci lagi khususnya apabila ditembungkan dengan falsfah sains moden (yakni barat). Akhir sekali, makalah awal (al-Usul Menuju Manifesto) dan makalah penutup (Khatimah Sebagai Manifesto) beliau merupakan pengikat kesemua makalah yang ada dalam buku ini.

Buku ini turut memuatkan beberapa penulis moden seperti Prof. Osman Bakar, Dr. Mohammad Alinor dan Prof. Shahidan Radiman. Sebenarnya pendorong saya untuk memiliki buku Ustaz Zaid adalah kaitan beliau dengan Prof. Shahidan. Prof. Shahidan merupakan salah seoarang rakan saya ketika di University of Cambridge dahulu. Dua makalah beliau ada termuat di buku ini: "Penerapan Tauhid Dalam Sains dan Teknologi" dan "Mekanik Kuantum dan Kesufian". Ada beberapa perkara yang saya tidak dapat bersependapat dengan apa yang beliau tulis berasaskan kefahaman fizik saya (dan bukan dari sudut tasawwuf yang pengetahuan saya hampir sifar, jika tidak sifar). Contoh jelas adalah bandingan quantum teleportation dan wormhole sudah tentu berlainan aspek apa yang dipindahkan dan tidak boleh dibanding secara terus (melainkan pengarang juga berfikir yang dipindahkan itu juga harusnya berlainan). Juga, sedikit perasaan kurang selesa berlaku apabila teori-teori fizik terkini secara mudah disesuaikan atau dibandingkan dengan pengetahuan Islam atau pengalaman ahli sufi.

Makalah Dr. Alinor (Pembangunan Linguistik Matematik dan Kaitannya dengan Ilmu Tatabahasa) juga begitu menarik kerana ada merujuk kepada teori akar Arab (root words). Secara terpendam, saya sudah lama berminat dengan usaha-usaha ilmuwan seperti Toshihiko Izutsu, Sakir Kocabas dan Moha Lhousni (rakan saya ketika di University of Durham) yang menggunakan aspek permasalahan bahasa dalam membangunkan teori atau falsafah dalam sains Islami.

Secara keseluruhan usaha murni Ustaz Zaid ini perlu dialu-alukan dalam memperkayakan penulisan sains Islami. Namun dirasakan buku ini boleh diperbaiki lagi dari segi tatasusunannya khususnya penyusun mungkin boleh menjelaskan kenapa makalah-makalah diatur sedemikian rupa bagi memudahkan pembaca untuk menangkap apa tujuan setiap makalah itu secara bersistem.

19.5.09

Shaharir di SSUT INSPEM-7

Pada minggu lepas, Institut Penyelidikan Matematik UPM telah mengadakan Seminar Sehari Sempena Ulang Tahun INSPEM ke-7. Antara penceramah undangan di seminar itu ialah Prof. Shahrir Mohamad Zain. Tajuk syarahan beliau adalah "Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza Mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik" (berbeza daripada tajuk yang dihebahkan sebelum itu). Saya telah diminta oleh pelajar saya untuk mengulas syarahan beliau. Sebenarnya saya agak keberatan memandangkan Prof. Shaharir adalah ilmuwan dan pejuang bahasa yang sangat disegani. Namun saya sahut cabaran ini dan cuba mengulas topik yang dibawa mengikut fahaman peribadi saya. Oleh kerana saya tidak mempunyai apa-apa dokumen mengenai syarahan ini, saya terpaksa bergantung kepada ingatan saya yang tak seberapa ini.

Sebenarnya saya tertunggu-tunggu juga apa yang akan diperkatakan oleh Prof. Shaharir kerana beliau telah lama memperjuangkan pengislaman sains dan juga terkemudian pengpribumian sains. Titik tolak hujjah-hujjah beliau adalah sains sarat nilai dan bukannya bebas nilai seperti mana yang disangkakan. Sememangnya perkara ini banyak diperdebatkan dalam skop falsafah sains di Barat dan bukan sahaja di sini. Dari situ, beliau cuba menunjukkan peranan bahasa yang membawa nilai-nilai ini. Beliau mengemukakan beberapa contoh di mana bahasa Melayu secara halus mempengaruhi kefahaman sains di kalangan masyarakat. Bagi saya, contoh-contoh ini penting dan menarik sekali kerana ia menjelaskan bagaimana dia memahami pengaruh bahasa ke atas sains itu. Antara perkara yang saya harap beliau kupaskan adalah mengenai ruang dan masa tetapi mungkin tidak kesempatan. Ada juga contoh yang beliau berikan seperti 2 kali 5 yang saya rasakan perlu dikelaskan sedikit berbeza iaitu apakah ia lebih kepada pengaruh matematik ke atas bahasa dan bukan sebaliknya. Di situ konsep kesamaan dikaitkan dengan hukum boleh tukar tertib (sifat simetri Abelan). Namun demikian, contoh ini menarik untuk dihalusi asal-usulnya.

Secara umumnya, Prof. Shaharir mengharapkan penggunaan bahasa Melayu dalam sains (bermatematik) ini dapat dipergiatkan lagi agar pengaruh halus yang dibawa oleh bahasa itu dapat membawa perkembangan baru atau setidaknya kefahaman yang lebih dapat disesuaikan dengan pemikiran Melayu.

Satu persoalan menarik timbul dalam sesi soal jawab ialah bagaimana usaha penonjolan pengaruh bahasa Melayu ini dimuatkan dalam konteks memahami agama Islam. Ini menarik kerana kedua-dua agama dan sains membuat tuntutan sarwajagat (universal claims) dan jawapan Prof. Shaharir merujuk kepada hukum 'urf dalam fiqh juga menarik. Hukum 'urf dari segi tatasusunan (hierarchy) sumber hukum adalah lebih rendah dan lebih merujuk kepada perkara-perkara khusus dan bukan yang umum. Ini membawa persoalan menarik dari segi tatasusunan dalam pengislaman (atau pengpribumian) sains. Apakah perlu dileraikan antara yang umum dan yang khusus? Saya rasa banyak perkembangan dapat dilakukan dalam konteks ini, malah ada baiknya kajian sains Islam merujuk kepada kemajuan yang dibuat dalam usul fiqh. Wallahu'alam.

4.5.09

Dirgahayu Kosmologi Melayu?

Semalam dalam perjalanan pergi-balik ke Segamat, saya sempat menghabiskan buku "Kosmologi Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat" oleh Prof. Hairudin Harun. Buku ini saya nampak satu ketika dulu dalam pameran buku baharu di perpustakaan, lantas saya meminjamnya. Sebagai seorang yang terdidik di Barat, gaya hidup mungkin kata orang pula ala barat, namun saya tetap mencari keistimewaan yang ada dalam budaya melayu dan lebih penting lagi kemajuan (atau kemunduran?) yang bakal dibina.

Kosmologi Melayu (konteks metafizik) ada ditakrif oleh pengarang dalam bab pertamanya menurut beberapa fasa. Saya sangat mengharapkan kupasan yang lebih mendalam dalam perkara ini kerana ini merupakan inti utama buku ini sebelum dimasukkan unsur pengaruh teknologi maklumat. Namun semuanya diberi dengan agak ringkas tetapi memadai dalam memperkenalkan kosmologi Melayu. Sebenarnya banyak lagi persoalan yang bermain dalam fikiran saya seperti kosmologi animisme dan hindu yang begitu kompleks masih bertapak kuat dalam pemikiran Melayu walaupun sudah disaji dengan kosmologi Islam yang lebih ringkas (tetapi lebih abstrak) berkurun lamanya. Sehubungan dengan ini juga adalah tahap antropomorfisme dalam perihalan perkara abstrak yang pada pendapat saya, perlu disentuh memandangkan pengarang menekankan aspek semiotik kemudiannya.

Perbincangan kesan pengaruh teknologi maklumat yang dibuat oleh pengarang adalah perkara yang turut dibincang oleh orang lain dan tidaklah terhad 'masalah'nya kepada pemikiran orang Melayu tapi turut berlaku kepada budaya lain. Yang menarik di sini, pengarang memuatkan sedikit sejarah pembudayaan sains dan teknologi maklumat di negara ini dalam bukunya, menonjolkan nama Tengku Mohd Azzman dan Tun Dr. Mahathir. Kadangkala dirasakan kaitan latarbelakang ini dengan pembentukan bentuk baru kosmologi Melayu dalam konteks pengaruh teknologi maklumat tidak begitu jelas. Memang ada disebut beberapa kali bahawa pembudayaan teknologi maklumat merupakan sambungan proses pembudayaan sains dan teknologi dan sains yang dibawa tidak menghiraukan unsur simbolisme alam Melayu, seterusnya mengakibatkan dua pola minda Melayu yang kelihatan bercanggah. Pada pendapat saya ini perlu dianalisis lagi. Tetapi sepertimana pengarang telah jelaskan dalam bukunya itu, bahawa tulisannya di situ adalah satu kajian awal tentang perkara ini dan sudah semestinya kita alu-alukan. Harapannya sekarang agar kajian ini dapat diperhalusi lagi dan diteruskan.

19.4.09

Berdikit-dikit

Semalam saya telah menyampaikan ceramah saya bertajuk "Teorem Kochen-Specker: Implikasi, Variasi & Penyelesaian" di Seminar Pemikiran Fizik Semasa anjuran Akademi Sains Islam Malaysia. Bagi makluman untuk mereka yang tidak hadir ke seminar tersebut, saya telah memberi ulasan perkembangan teorem Kochen-Specker dari dua sudut iaitu sudut teori pembolehubah tersembunyi (atau terpendam mengikut penceramah yang lain - tapi istilah pendam kita telah pakai untuk "latent") dan sudut logik yang mendasari teori kuantum. Bagi yang pertama, saya turut memasukkan penemuan oleh pelajar PhD saya Toh Sing Poh. Kesimpulan adalah lebih kurang begini: (i) kita perlu menerima teori pembolehubah teresembunyi berkonteks atau sistem kuantum tidak punyai nilaian pra-tentu bagi sifat fizikalnya (ii) kita perlu menerima logik intuitis berkonteks atau logik yang tidak mematuhi hukum agihan.

Saya turut ingin menyampaikan beberapa aspek pengendalian sains yang saya rasa kita perlu peka. Pertama, memang saya menekankan aspek matematik yang membolehkan kita lebih analitikal dalam pemikiran kita khususnya apabila berdepan dengan persoalan besar dan yang mendalam. Ini tidak bermaksud kita menolak aspek kualitatif atau falsafah dalam pemikiran. Memang kita perlu ada kedua-duanya. Tetapi saya ingin merujuk kepada budaya kita yang rata-ratanya cuba menjauhi bidang bermatematik dan bagi saya merupakan antara perkara utama yang kita perlu atasi dalam sains. Juga lebih lazim kita dapati apabila dibincang aspek matematik, memang sudah ada aspek kualitatif dan falsafahnya tetapi tidak sebaliknya; kebanyakan perbincangan falsafah tidak menghiraukan aspek matematik. Ini berbeza sekali dengan perkembangan di negara lain di mana penyelidikan falsafah melibatkan banyak aspek matematik. Yang kedua mungkin kurang jelas dalam penyampaian saya ialah kita harus sedar kebanyakan kemajuan sains dibangunkan di atas penemuan-penemuan kecil dalam tempoh panjang. Ini saya sebut kerana kita lazim melontar isu-isu besar dalam perbincangan kita tanpa mendapat sebarang penyelesaian yang meyakinkan. Selain itu, penemuan atau isu kecil membolehkan kita memahami lebih proses peleraian dan penyelesaian masalah. Tidak guna kita membuat kritikan apabila kebanyakan perkara yang kita kritik itu, kita sendiri masih belum memahami sepenuhnya. Begitu juga tidak perlu kita guna banyak konsep dan perkara yang kita kurang fahami untuk mengendalikan isu-isu besar. Kemungkinan apa yang kita ingin sampaikan kepada umum itu keliru lagi mengelirukan. Biarlah kita berdikit-dikit dalam memajukan sains walaupun kita ghairah dalam memperjuangkan sesuatu.

27.3.09

Sumbangan ke SPFS

InsyaAllah, saya akan memberi ceramah mengenai Teorem Kochen-Specker pada 18 April 2009 dalam Seminar Pemikiran Fizik Semasa anjuran Akademi Sains Islam Malaysia. Saya berharap saya dapat memberi apa yang diharap oleh penganjur. Berikut adalah poster hebahannya.